GUA MUSANG: Seorang pemuda menjadikan kemahiran membuat kelengkapan kubur termasuk batu nisan jenis batu sungai dan belindan sebagai sumber rezeki untuk menyara kehidupan keluarganya di Felda Chiku 2, di sini.
Mohd. Azhar Mat Arifin, 32, berkata, dia mendapat idea menjual batu nisan daripada batu sungai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini menjadi sumber pendapatannya.
Katanya, tidak hanya menggunakan batu sungai tempatan, dia turut menggunakan yang diimport dari Pakistan.
“Ketika PKP, saya mula terfikir untuk menjual kelengkapan kubur apabila melihat di daerah ini masih tiada yang mengusahakannya.
“Awalnya, saya mengeluarkan lebih RM15,000 sebagai modal permulaan termasuk membeli acuan untuk batu nisan konkrit dan belindan,” katanya ketika ditemui di Felda Chiku 2.
Mohd. Azhar berkata, permintaan batu nisan yang diusahakan tidak hanya terhad kepada pelanggan di daerah ini tetapi mendapat tempahan dari Kuala Krai dan Machang.
Katanya, harga bagi batu nisan sungai bergantung kepada besar batu dan jenis ukiran nama antara RM350 hingga RM450 sepasang.
“Bagi batu nisan import pula dijual dengan harga RM800 sepasang manakala harga untuk satu set belindan dan dan batu nisan pula dijual antara RM350 hingga RM1, 200 bergantung kepada saiz sama ada untuk dewasa atau kanak-kanak.
“Pada bulan biasa saya menerima tempahan kira-kira 40 pasang batu nisan Sungai dan permintaan ini akan meningkat sehingga 60 pasang pada musim perayaan,” katanya.
Mohd. Azhar berkata, cuaca panas ketika ini memberi rahmat kepadanya apabila membantu mempercepat proses pengeringan batu nisan dan belindan.
“Batu nisan atau belindan yang kering dengan sempurna meningkatkan lagi ketahanannya,” katanya. – UTUSAN