KULIM: Seorang lelaki yang memandu kereta Proton Iswara rentung setelah kenderaanya terlibat kemalangan dengan sebuah Toyota Camry di Jalan Kulim-Baling, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 2.20 petang itu, mangsa berusia 27 tahun tersepit sebelum terbakar, manakala isterinya berusia 28 tahun dan dua anak mereka berumur tiga dan empat tahun parah.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, isteri dan anak-anak mangsa sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Kulim (HK).
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah Kulim ke Baling dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudian bertembung kereta Toyota Camry dari arah bertentangan, namun pemandunya yang berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, Mohd. Redzuan berkata, siasatan juga mendapati pemandu kereta Toyota Camry itu memandu dalam keadaan lesen tamat tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, anggota bomba memadam kereta yang terbakar dan mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas. –UTUSAN