GEORGE TOWN: Seorang bapa melahirkan berharap anak perempuan sulungnya yang menghilangkan diri sejak 1 Mei lalu segera pulang ke pangkuan keluarga.
Tan Boon Chai, 57, berkata, anaknya, Tan Shu Chyi, 25, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat di Kuala Lumpur tidak dapat dihubungi menerusi telefon dan menghilang tanpa khabar berita.
”Sebagai bapa, saya amat bimbang keadaan anak saya, dia bekerja di Kuala Lumpur sejak tahun lalu, sebelum ini kami selalu berhubung menerusi panggilan telefon.
“Tetapi sejak 1 Mei lalu, dia tiba-tiba menghilang dan kami sekeluarga tidak dapat tidur lena kerana memikirkan keselamatannya,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Gerakan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Jurucakap Parti Gerakan Sungai Pinang, Mok Kok On.
Boon Chai yang bekerja sebagai kontraktor berkata, dia mengesyaki kehilangan anak sulung daripada tiga beradik itu berpunca daripada masalah hutang.
”Ini kerana pada pertengahan Mei lalu, saya menerima panggilan daripada seseorang yang memaklumkan anak perempuan saya ada berhutang dengannya.
”Saya dimaklumkan anak saya berhutang kira-kira RM2,500 dan jumlah hutang ini telah meningkat sehingga RM6,000 (termasuk kadar faedah) dan mungkin jumlah ini akan terus meningkat,” katanya.
Tambahnya, dia amat berharap anak perempuannya itu pulang segera bagi berbincang dan menyelesaikan segala masalah supaya mereka sekeluarga dapat hidup tenang serta bahagia seperti dahulu.
”Apa sahaja masalah boleh diselesaikan bersama keluarga, cuma dia perlu pulang dengan selamat dan tidak menghilangkan diri.
”Saya tidak dapat mencarinya di Kuala Lumpur kerana dia tidak pernah dimaklumkan alamat tempat tinggalnya di sana, malah dia juga tidak mempunyai banyak kawan,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, dia juga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu semalam kerana bimbang dengan keselamatannya. – UTUSAN