KOTA BHARU: Orang ramai termasuk golongan muda tidak perlu malu mengenakan pemakaian busana Melayu di depan khalayak kerana tindakan itu melambangkan jati bangsa Melayu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pencinta Seni Busana Kelantan, Zat Asyraff Takiyuddin berkata, busana baju Melayu jenis cekak musang atau teluk belanga yang digayakan bersama samping, tanjak dan keris itu menggambarkan kecintaan pada bangsa.
Katanya, pada masa sama ia melambangkan Melayu sebagai bangsa yang bermaruah dan mempunyai adat budaya serta pekerti tinggi.
“Persatuan berharap pemakaian busana Melayu terus kekal subur sampai bila-bila. Pada masa sama kita juga mahu ada generasi pelapis untuk pertahankan pemakaian tersebut,” katanya ketika ditemui pada Program Berbusana Kelantan, Kolokium Pengenalan Busana Melayu dan Tekstil Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Zat Asyraff memberitahu, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai termasuk golongan anak muda dalam aspek pemakaian busana berkenaan seperti di zaman kesultanan Melayu satu masa dahulu.
Katanya, ia turut membuka lembaran baharu kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat busana Melayu yang mempunyai pelbagai falsafah serta maksud.
“Besar harapan kami, masyarakat di negeri ini dapat menghargai budaya dan kesenian Melay,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Syahrul Azhan Mat Yaakub, 43, berkata, pakaian busana Melayu mempunyai daya penarik tersendiri dan unik selain membuatkan si pemakainya kelihatan segak.
“Ini pakaian kita, kalau bukan orang Melayu pakai, siapa lagi yang akan berbuat demikian,” ujarnya. – UTUSAN