JOHOR BAHRU: Pelaksanaan inisiatif bandar pintar adalah solusi terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu perbandaran yang gagal diselesaikan menerusi sistem tradisional sedia ada.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Johor (PlanMalaysia@Johor), Saidin Lateh berkata, kesedaran awam terhadap inisiatif itu perlu ditingkat dan ditanam, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Bagi pembangunan sesebuah bandar pintar, terdapat tujuh komponen yang menjadi teras, iaitu kerajaan pintar, rakyat pintar, ekonomi pintar, penghidupan pintar, mobiliti pintar, alam sekitar dan digital pintar.
“Namun, pelaksanaannya juga berdepan beberapa cabaran utama, iaitu kekurangan sumber kewangan, integrasi data antara agensi, kurang kerjasama antara agensi, keupayaan infrastruktur digital, tahap digital masyarakat dan kekurangan keupayaan kakitangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Forum Bandaraya Pintar Johor 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini dirasmikan oleh Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Program selama tiga hari itu menyediakan sebanyak 74 ruang pameran melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Pusat dan negeri, pemain industri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB),
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan PBT dari Selangor, Perak dan Terengganu.
Saidin berharap penganjuran forum itu dapat mencapai misi utama bagi menjadikan inisiatif bandar pintar sebagai satu idea yang mampu direalisasikan pada masa depan.
“Perkara ini penting kerana pada masa depan, penggunaan teknologi akan menjadi satu keperluan asas dalam kehidupan harian setiap individu, apatah lagi dalam isu pengurusan sesebuah bandar. Di Johor, kita menyasarkan beberapa kawasan dapat dibangunkan sebagai bandar pintar menjelang tahun 2030, khususnya di sekitar wilayah Iskandar Malaysia yang selari dengan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju,” katanya. – UTUSAN