PETALING JAYA: Malaysia menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap individu yang bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm bagi memerangi Islamofobia di sana.
Kementerian Luar Negeri (KLN) di dalam satu kenyataan berkata, Islamofobia di Sweden semakin membimbangkan dan dipercayai sekiranya tiada tindakan dari pihak berkuasa negara itu, ia akan membawa kesan buruh terhadap hubungan dengan umat Islam di seluruh dunia.
Menurutnya, tindakan kerajaan Sweden membenarkan perbuatan provokatif tersebut adalah penghinaan kepada umat Islam di seluruh dunia dan melanggar prinsip sejagat menghormati serta memahami semua agama dan kitab suci mereka.
“Ini merupakan kali kedua tindakan keji sedemikian berlaku di Sweden tahun ini, selepas insiden pertama yang berlaku pada Januari 2023. Keputusan mahkamah Sweden untuk membenarkan perbuatan keji ini berulang lagi bukanlah satu langkah yang progresif dalam usaha untuk meningkatkan rasa hormat dan persefahaman demi kebaikan umat manusia.
“Sebaliknya, langkah tersebut adalah seumpama membenarkan jenayah kebencian dan provokasi jahat yang bertujuan untuk menyebarkan kebencian agama serta hasutan kepada keganasan, yang merosakkan usaha keamanan dan ketamadunan,” katanya.
Terdahulu, tindakan lelaki berasal dari Iraq membakar al-Quran mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perbuatan biadab itu dilakukan oleh dua lelaki di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Lapor Daily Mail, kira-kira 200 penduduk menyaksikan perbuatan Salwan Momika yang membakar kitab suci itu.
Salwan pada mulanya mengoyakkan beberapa helaian al-Quran lalu mengelap kasutnya. Dia kemudian meletakkan hirisan bacon sebelum membakar kitab suci umat Islam itu.
Sementara itu, seorang individu yang bersama Salwan pula dilihat melaungkan kata-kata menggunakan alat pembesar suara.
KLN berkata, Malaysia mengulangi gesaan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) mengambil tindakan segera.
“Ini dalam menggalakkan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas kitab suci agama serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN