Bagi signal kiri, tapi masuk kanan - Utusan Malaysia

Bagi signal kiri, tapi masuk kanan

Dalam banyak keadaan, apabila jalan sesak, jika tidak disebabkan kemalangan, pasti ada kenderaan paling depan dipandu terlalu perlahan sehingga mengakibatkan kesesakan luar biasa. --MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA pengajaran yang kita boleh dapat daripada kejadian seorang penyelia kilang yang menunjal kepala seorang wanita yang didakwanya memandu secara berbahaya sehingga mengancam nyawa keluarganya di dalam kereta awal minggu ini?
Lelaki itu sudah pun dikenakan hukuman penjara seminggu. Kalau betul pun wanita berkenaan memandu berbahaya, itu memang patut ditegur tetapi hilang sabar dengan menunjal kepalanya, itu terang-terangan adalah perbuatan salah.
Menggunakan kekerasan ala samseng tidak boleh dianggap sebagai memberi nasihat atau teguran walaupun yang ditunjal kepalanya itu pun mungkin ada berbuat salah.
Tetapi itulah, kalau semua orang mengamalkan pemanduan yang selamat untuk diri sendiri dan orang lain, tak adalah berlaku pertengkaran termasuk aksi menunjal kepala.
Saya bukan mahu mengulas panjang cerita tunjal ini tetapi ini sebenarnya adalah antara keadaan yang selalu dihadapi dan dilakukan oleh pemandu-pemandu di negara ini. Kalau jenis tak sabar atau panas baran, memang banyak ‘peperangan’ boleh berlaku di jalan raya. Pembuli dan samseng jalan raya pun ramai. Cuma tak ramai yang bertemu buku dengan ruas saja.
Saya rasa setiap daripada kita yang memang memandu boleh buat senarai panjang, apa tabiat memandu yang menjengkelkan ketika berada di jalan raya. Macam-macam perangai dan gaya pemandu kita boleh jumpa di negara ini.
Antara tabiat memandu yang selalu sangat dilakukan adalah masuk simpang atau laluan tak beri signal, beri signal kanan tetapi masuk kiri, ada yang beri signal tetapi tak masuk-masuk dan bila kenderaan kita sudah hampir dengannya, baru dia hendak masuk atau memotong dan kita terpaksa brek mengejut.
Dan dalam banyak keadaan, apabila jalan sesak, jika tidak disebabkan kemalangan, pasti ada kenderaan paling depan yang dipandu terlalu perlahan sehingga mengakibatkan kesesakan luar biasa berkilometer jauhnya!
Kita juga sudah amat biasa dengan pemandu yang terlalu perlahan di lorong paling kanan dan tengah. Macam bersiar-siar. Dia hendak makan angin pada waktu puncak pula, masa orang ramai masing-masing mahu pergi ke tempat kerja.
Yang lebih membahayakan adalah memotong di selekoh, membawa kenderaan dalam keadaan mabuk dan tidak sihat. Sebabnya, ia bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi mengancam nyawa orang lain.
Ada pula yang sempat melihat segala content dalam Tiktok dan media sosial lain di dalam kereta ketika memandu. Itu yang kadang-kadang ada kereta dipandu amat perlahan dan melelong ke kiri ke kanan, ingatkan mabuk, rupa-rupanya sedang melayan drama.
Tidak cukupkah asyik melayan telefon pintar di tempat kerja, semasa makan dan di rumah? Ketika dalam kereta fokuslah pada pemanduan kerana ini melibatkan nyawa.
Pada Mei tahun lalu dilaporkan, Malaysia antara 10 negara di dunia yang paling berbahaya untuk memandu. Berdasarkan data yang dikeluarkan firma pendidikan pemanduan antarabangsa, Zutobi, negara ini berada di kedudukan kelapan dengan skor keselamatan hanya 5.63 daripada 10.
Menurut data itu, Malaysia juga merekodkan skor 22.5 kematian lalu lintas bagi setiap 100,000 penduduknya, kedua tertinggi selepas Thailand yang merekodkan skor 32.3.
Bagaimanapun, negara ini merekodkan kadar terendah iaitu skor 1.0 dari 10 negara lain, yang merekodkan kes kematian akibat kemalangan disebabkan penggunaan alkohol.
Dalam pada itu, data firma berkenaan meletakkan Norway adalah negara paling selamat untuk memandu dengan skor tertinggi iaitu 8.20, dengan rekod kadar kematian di jalan rayanya rendah selain penggunaan tali pinggang keledar juga tinggi.
Tetapi itulah, kita jangan puji sangatlah pasal pemandu negara lain yang kononnya lebih berdisiplin ketika memandu. Contohnya, ramai saja pemandu dari negara jiran kita, cukup berdisiplin bila memandu di negara sendiri tetapi bila masuk negara orang, dia macam lepas geram, langgar segala peraturan. Banyak buat koleksi saman lalu lintas di negara ini.
Bagaimanakah yang dikatakan seorang pemandu yang bagus? Adakah ia dinilai dengan melihat kepada skil pemanduan?
Hakikatnya, kemahiran memandu bukan setakat lulus ujian undang-undang jalan raya dan ujian memandu. Ia juga bukan saja diukur dengan kepantasan dan kecekapan mengendalikan kenderaan. Otak yang berfungsi dengan baik juga harus dibawa bersama ketika memandu.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya