‘Ayah, kami datang ziarah’ - Utusan Malaysia

‘Ayah, kami datang ziarah’

Nurul Syazwani Sajari (kanan) dan Nurul Farhanah mendoakan agar roh bapa mereka dicucuri rahmat di Perkuburan Syaraek, Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Dua beradik tidak dapat menahan sebak apabila akhir­nya berpeluang menziarahi kubur bapa mereka buat kali pertama selepas tujuh tahun bekas petugas haji itu meninggal dunia ketika sedang tahiyat akhir solat subuh di Mina.

Nurul Syazwani Sajari, 32, dan adiknya, Nurul Farhanah, 29, bersyukur apabila penantian mereka melihat sendiri kawasan Perkuburan Syaraek di sini yang menyimpan jasad bapa, Sajari Sawi, 56, dimakbulkan. Mereka tiba di Tanah Suci 30 Mei lalu.

Arwah bertugas di ibu pejabat Tabung Haji (TH) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur selama 38 tahun. Ketika kejadian, dia dilantik sebagai Penolong Pengurus Zon 1 Madinah.

Nurul Syazwani berkata, pemergian arwah akibat sera­ngan jantung menyebabkan mereka berduka selama setahun apabila kehilangan tonggak keluarga sehinggakan tidak meraikan Aidilfitri dan Aidiladha pada 2016.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila ibu mereka, Faridah Harun, 58, meninggal dunia dua tahun kemudian akibat kanser gusi.

“Berita mengenai kematian bapa diketahui selepas wakil TH menghubungi ibu yang membuatkan dia menangis kerana kali terakhir kami bertemu ialah ketika menghantar arwah bapa ke Kompleks TH Kelana Jaya, Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Mengimbau semula kejadian itu, Nurul Syazwani berkata, ibu kemudian menghubunginya yang ketika itu sedang menyi­apkan tugasan sarjana dalam bidang mikrobiologi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

“Rumah kami sunyi selama setahun sampai ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Kami terasa kehilangannya kerana arwah bapa pandai masak nasi Arab dan hidangan itu dibuat setiap kali perayaan,” katanya.

SAJARI Sawi meninggal dunia ketika solat subuh di Mina, tujuh tahun lalu.

Jelas Nurul Syazwani, arwah sepatutnya tidak bertugas tahun itu tetapi dia membuat rayuan dan perubahan arwah ialah dia terlalu gembira ketika hendak berangkat tidak seperti sebelumnya yang membuatkan mereka merasakan seperti ada yang tak kena.

Nurul Syazwani berkata, adiknya, Muhammad Syamil, 29, seorang jurugambar sambilan memberi laluan kepada mereka pergi ke Tanah Suci untuk menziarahi pusara arwah.

“Ini rezeki yang berat untuk diterima dan ditolak. Kami berbincang siapa yang pergi dan siapa yang tinggal kerana tawaran hanya untuk dua orang,” katanya.

Sementara itu, Nurul Farha­nah berkata, beberapa hari sebelum berangkat dia bermimpi bertemu arwah bapanya yang memakai serba putih.

“Dalam mimpi itu dia berkata ‘dia tahu’ sebelum berlalu pergi. Saya tak faham apa yang arwah maksudkan. Saya juga mimpi arwah ibu dia kata dia dah elok, dah tak sakit.

“Hati kami tak puas selagi tak menziarahi pusaranya. Kami tahu dia meninggal ketika solat apabila staf TH yang berada di sebelahnya pada hari kejadian datang melawat kami selepas kematiannya,” katanya.

Menurut Nurul Farhanah, sebelum ibu meninggal dunia, arwah berpesan supaya mereka sepakat adik-beradik dan tidak bergaduh.

“Saudara mara pun ramai yang datang membantu dan bertanya khabar selepas itu. Berat rasa ujian ini tetapi kami menerimanya dengan reda dan langsung tidak mempersoalkan mengenai takdir ini,” katanya.

Dalam pada itu, rakan setugas arwah, Rashid Desa, 60, berkata, arwah seorang yang baik dan berlemah lembut ketika berbicara.

“Kami duduk sebilik ketika itu dan arwah merupakan ketua unit pentadbiran. Dia tak suka cerita mengenai orang lain, pe­nyabar dan mempunyai akhlak yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya