KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, AR Badul sedia berdepan kecaman dan kritikan gara-gara sebilangan kecil elemen lucah dan kurang sopan yang dipaparkan dalam filem terbaru arahannya, Vik2ria Secret.
Kata Badul, dia terbuka menerima kritikan dan mengalu-alu pandangan masyarakat tentang filem yang mula ditayangkan pada 15 Jun itu.
“Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Setiap orang ada pendapat masing-masing, jadi kita tak boleh marah.
“Komen yang diberikan penonton adakalanya benar, cuma cara teguran biarlah kena pada tempatnya.
“Ada yang anggap filem ini lucah dan serta mengandungi dialog yang agak kurang sopan. Tapi banyak lagi filem lain yang mengandungi elemen seperti itu,” katanya selepas majlis pratonton filem Vik2ria Secret baru-baru ini.
Filem tersebut menampilkan pelakon Annie Arifin, Ropie, Man Raja Lawak, Fiza Halim dan ramai lagi.
Kongsi Badul, jalan cerita yang dipaparkan Vik2ria Secret lucah dan keterlaluan seperti yang dianggap ramai pihak. Bahkan, skrip asal cerita tersebut telahpun dirombak bagi memastikan ia sesuai untuk tontonan umum.
“Bagi saya ia tidaklah keterlaluan kerana dalam yang berlebih-lebihan itu telahpun dikurangkan ketika skripnya dirombak.
“Kita kena ikut undang-undang dan hukum agama. Jauhi yang dilarang.
“Kalau nak tengok cerita di luar kotak, inilah salah satunya. Tapi kami hasilkan untuk disesuaikan dengan budaya masyarakat tempatan,” jelasnya.