Anak kampung nelayan Kuala Perlis cemerlang SPM - Utusan Malaysia

Anak kampung nelayan Kuala Perlis cemerlang SPM

NUR Hawa Balqis Mohamad Ros (kiri) dan Pang Joe Wen dari kawasan perkampungan nelayan Kuala Perlis menunjukkan keputusan cemerlang dengan memperolehi masing-masing 8A dan 9A dalam SPM di SMK Kuala Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Walaupun berasal dari kawasan perkampungan nelayan dan hidup serba kekurangan, ia tidak menghalang Nur Hawa Balqis Mohammad Ros,18, meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Nur Hawa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis yang berasal dari Kampung Pulau Ketam di sini mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan berkenaan.

Nur Hawa berkata, dia sememangnya tidak menyangka dapat meraih keputusan cemerlang itu memandangkan peperiksaan percubaannya sebelum ini tidak begitu memberangsangkan.

“Sewaktu peperiksaan percubaan sebelum ini, saya hanya mendapat 6A namun pada SPM kali ini, memang saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya meraih keputusan 8A,” katanya.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia sememangnya berhasrat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga memandangkan bapa hanya bekerja sebagai buruh manakala ibunya pula seorang suri rumah.

Katanya, dia juga kerap melakukan solat istikharah, membaca al-Quran dan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam sebagai usaha bagi meraih keputusan cemerlang.

“Kami sekeluarga bukannya orang senang dan disebabkan itu saya berusaha sebaik mungkin bagi mengubah kehidupan kami dengan cuba belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang dari SMK Kuala Perlis, Pang Joe Wen, 18, berkata, dia sememangnya tidak menjangka dapat meraih keputusan cemerlang 9A.

Kata Joe Wen, dia kerap melakukan ulang kaji seorang diri khususnya pada waktu awal pagi bagi menghafal semula dan menguasai subjek-subjek yang dipelajari di sekolah.

“Saya lebih senang menghafal pada waktu awal pagi dan tidak sangka usaha selama ini berjaya membuahkan hasil apabila saya meraih keputusan cemerlang dalam SPM kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Joe Wen yang juga anak seorang peniaga ikan berkata, dia menyasarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi selepas ini dan bercita-cita menjadi seorang ahli farmasi.

Tambahnya, dia sememangnya amat meminati bidang berkenaan dan berhasrat untuk mengejar cita-cita itu bagi mengubah nasib keluarga.

“Kami hanya dua beradik dalam keluarga ini dan abang pula hanya bekerja membantu ayah menjual ikan selepas tamat belajar.

“Disebabkan itu saya ingin mengubah nasib keluarga dan belajar bersungguh-sungguh untuk meraih keputusan cemerlang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya