ARAU: Seorang penoreh getah, Abdullah Ismail,54, sebak kerana terlalu gembira selepas anaknya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nur Alia Maisarah Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka membuat kejutan dengan datang sendiri ke kebun getah bagi menunjukkan keputusan semua A tersebut kepada bapanya yang sedang menoreh getah.
Dengan keputusan tersebut membuktikan kesusahan hidup bukan penghalang bagi Nur Alia mendapat keputusan sangat cemerlang sekali gus turut membanggakan sekolahnya yang terletak di pinggir bandar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nur Alia berkata, meskipun hidup dalam serba kekurangan namun tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran dan usaha gigih tanpa mengenal erti putus asa itu akhirnya membawa kejayaan.
Katanya, meskipun pendapatan bapa hanya sekitar RM900 sebulan, insan kesayangannya itu tidak pernah mengeluh mengenai kesusahan hidup, sebaliknya sentiasa berusaha menenuhi keperluannya khususnya dalam aspek pendidikan.
Kata Nur Alia, jika hendak membeli sesuatu keperluan, bapa akan berusaha mencari wang termasuk melakukan pelbagai lagi kerja kampung lain bagi menambah pendapatan.
Ujar anak kelima dari tujuh beradik itu, kehidupan mereka yang serba kekurangan itu menjadi motivasi kepadanya untuk terus berusaha dan berjaya dalam pendidikan demi membantu keluarga.
“Sebenarnya, saya juga tidak jangka mendapat semua 9A dalam SPM ini kerana keputusan-keputusan sebelum ini agak kurang baik. Namun saya tidak berputus ada termasuk berjaya memperolehi A dalam Matematik yang sebelum ini, saya gagal dalam subjek itu.
“Sedikit demi sedikit dengan bantuan guru dan rakan-rakan saya menunjukkan peningkatan dalam pelajaran ini dan siapa sangka memperolehi kesemua 9A dalam SPM,” katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, Allah SWT telah memakbulkan doanya siang dan malam untuk melihat puterinya itu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.-UTUSAN