SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua akan kekal dipertahankan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini nanti.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau berhasrat mempertahankan kawasan tersebut bagi melengkapkan beberapa perancangan untuk pembangunan DUN tersebut dan dalam masa sama dapat menguruskan Gombak dengan lebih berkesan.
“Insya-Allah, saya akan terus meminta terus (kekal) di DUN Sungai Tua. Tetapi biasalah kita ahli parti kena ikut arahan (pimpinan pusat),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Tekad Pendidikan #Kita Selangor, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, beliau menang dengan majoriti 11,374 mengalahkan tiga calon lain bagi DUN Sungai Tua.
Dalam pada itu, Amirudin turut memberitahu beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti sama ada mahu terus mencalonkannya sebagai Menteri Besar jika gabungan PH dan BN berjaya menguasai DUN dan membentuk kerajaan negeri nanti.
“Kalau dicalonkan saya sangat berbesar hati dan dengan jelas katakan saya bersedia menyambungnya. Namun begitu, terpulang kepada kepada parti. Sekiranya parti ada pemikiran lain. Diharapkan ada perbincangan sihat di antara semua pihak.
“Yang pentingnya adalah adalah kemenangan, kejayaan dan juga kesinambungan pentadbiran yang telah kita bentuk selama ini,” jelasnya. – UTUSAN