Amirudin, exco kekal sebagai ‘caretaker’ - Utusan Malaysia

Amirudin, exco kekal sebagai ‘caretaker’

Amirudin
AMIRUDIN Shari bersama barisan anggota MMKN pada Sidang Media Khas Sempena Lima Tahun Pentadbiran Menteri Besar Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan kekal mentadbir Selangor namun terhad kepada pelaksanaan dasar selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada Jumaat ini.

Malah, barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga akan kekal sehingga pembentukan kerajaan negeri yang baharu dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka pada Julai ini selesai.

Menurut Amirudin, perkara tersebut selaras dengan amalan sebelum ini yang berlandaskan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

“Sebagaimana yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan konvensyen (amalan) yang kita laksanakan pada sebelum ini, Menteri Besar dan juga exco akan bertugas selaku caretaker government.

“Sudah pasti kita sudah membentangkan dalam dua mesyuarat MMKN yang lalu, ada beberapa butiran yang boleh dilaksanakan selaku caretaker government dan perkara yang tidak wajar dilakukan dan bertentangan sebagai caretaker government,” katanya pada sidang media khas sempena lima tahun pentadbiran beliau, hari ini.

Terdahulu, Amirudin menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menandatangani Proklamasi Pembubaran DUN Selangor selepas baginda memberi perkenan untuk membubarkannya berkuatkuasa pada 23 Jun ini.

Dalam pada itu, beliau juga bimbang terhadap tempoh status caretaker government yang panjang akan mengganggu pelaksanaan dasar serta menjejaskan perolehan negeri seperti yang pernah dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

“Ini secara langsung akan memudahkan pentadbiran di peringkat negeri untuk dilaksanakan langkah-langkah seterusnya kerana penangguhan tersebut akan menyebabkan kutipan hasil sedikit terjejas sebagaimana pengalaman kita pada 2018.

“Jadi, kalau ada penangguhan dekat dua bulan dengan  kertas-kertas yang tertangguh sekian sebanyak itu, kemungkinan memberi kesan kepada pelaksanaan keputusan yang dibuat. Alhamdulillah semuanya sudah selesai tadi, 450 kertas dan sebahagiannya adalah kertas tertangguh,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya