SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa Selangor di bawah pentadbirannya sejak 2018 mencatatkan pelaburan asing sebanyak RM18 bilion iaitu tertinggi dalam tempoh 30 tahun.
Beliau membidas cubaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi Menteri Besar sebelumnya cuma memperoleh nilai pelaburan sekitar RM5 hingga RM7 bilion.
“Dia sudah tak boleh serang itu dia melompat pula, dia serang kononnya pelaburan. Min dengar lagi Min, lepas kamu tak ada jadi Menteri Besar, pencapaian terbaik kita RM18 bilion pelaburan asing selepas kamu keluar dari Selangor.
“Saya pun sedih, orang ini jaga MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) , dia tahu tak pelaburan ini macam mana, ke dia dahulu asyik pergi ke Sandakan (Sabah) sahaja untuk cari pelabur?
“Pelaburan ini datang ada pipeline, bukan datang ‘Min (Mohamed Azmin) aku hendak labur Min, esok aku datang’, bukan macam itu. Ia ada pipeline, kita ada MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan setiap tahun sejak daripada titik tersebut, RM18 bilion terbaik dalam 30 tahun.
“Tahun 2018, masa dia jadi Menteri Besar (sebelum bertukar kepada Amirudin) jumlah pelaburan cuma RM5 – RM7 bilion sahaja. Itu pun susah, orang ini kadang-kadang bila sudah semakin tua sepatutnya makin penyabar, ini makin gelojoh, susah hendak cakap,” katanya ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Arus Merah Kuning PH Selangor, hari ini.
Terdahulu, Mohamed Azmin dalam ucapannya ketika Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor 2023 menempelak Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor dengan mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu menjadi Menteri Besar selepas beliau mengangkat namanya kepada Istana Selangor.
Bagaimanapun, Amirudin dalam ucapan sama membidas dengan menyatakan beliau berjaya menewaskan ADUN Bukit Antarabangsa itu di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Hari ini sebenarnya kita baru warm up, Min dengar Min, kita baru warm up. Tak apa tak ada masalah. Dia mula hendak ungkit pula, ‘Amir ingat, aku yang naikkan kamu’. Min ingat, aku yang kalahkan kamu enam bulan dulu.
“Sebab itu, malam ini kita mulakan riak dan gelombang namanya Arus Merah Kuning untuk kita turun ke seluruh negeri menjelaskan kepada rakyat takut ada yang terkeliru, bimbang sebab serangan mereka itu bukan serangan yang benar, sebaliknya fitnah, tibu daya dan tidak menjelaskan perkara yang betul,” tegasnya. – UTUSAN