Aidiladha paling bermakna, lapan tahun terpisah dengan anak

Aidiladha Awie paling bermakna, jumpa anak terpisah lapan tahun

aidiladha
AWIE ditemui selepas Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di sebuah pawagam di Petaling Jaya, kelmarin.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ASSALAMUALAIKUM daddy. Ini Qasseh. Saya rindu dan sayang sangat pada Daddy.” 

Demikian kiriman mesej pertama menerusi WhatsApp seorang anak bernama Puteri Qasseh Antasha yang kini berusia 13 tahun kepada ayah kandungnya. 

Hati bapa mana yang tidak dibelenggu rindu setelah lapan tahun terpisah tanpa sebarang khabar berita. 

Bagi Datuk Awie, sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini sangat bermakna buat dirinya kerana besar kemungkinan dapat bertentang mata dan bersua muka dengan darah dagingnya sendiri. 

“Kalau ikut perjanjian kami dapat berjumpa semasa raya haji (hari ini). Saya sangat teruja menunggu tarikh Aidiladha (hari ini). 

“Harap-harap ia menjadi kenyataan dan dapat bertemu mereka,” katanya. 

Awie mengakui air mata jantannya gugur dan jatuh berderai saat menerima mesej tersebut. 

Sehingga sekarang, katanya, dia langsung tidak mengetahui lokasi keberadaan dua anak termasuk Putra Ahmad Rezzki, 15, yang kini di bawah jagaan bekas isteri kedua, Rozana Misbun. 

Berkat menunaikan umrah semasa bulan Ramadan lalu di tanah suci, Tuhan memakbulkan doa dan rintihan vokalis kumpulan Wings ini. 

“Saya banyak berdoa (dapat bertemu dengan anak) semasa berada di Mekah. Betul-betul selepas saya balik sini, tiba-tiba anak hantar mesej. 

“Berderai air mata keluar masa itu. Dia (anak) mesej saya dahulu sebab saya tak dapat hubungi mereka. Selepas itu, rajin juga dia mesej saya,” kongsinya. 

Ditanya perancangan dan aktiviti yang ingin dilakukan sempena perjumpaan pertama itu, Awie berkata, dia masih menunggu maklum balas daripada anaknya. 

“Saya belum tanya lagi, kalau datang jumpa sehari pun okay, dapat bertemu separuh hari juga okay. 

“Lapan tahun terputus hubungan, buat panggilan video juga tidak pernah,” katanya. 

Menerusi perkahwinan dengan Rozana pada 20 Jun 2005, pasangan itu dikurniakan seorang lagi anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 16.

Mereka bercerai pada 1 November 2014 dan Merrah kini tinggal bersama Awie.

Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 23, dan Putri Aleefa Antasha, 21.

Pada 7 Oktober 2016, Awie berkahwin dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin dan dikurniakan seorang anak pada 2020.

FILEM PERTAMA AWIE 

Awie ditemui selepas Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di sebuah pawagam di Petaling Jaya, kelmarin. 

Filem komedi seram itu merupakan naskhah pertama terbitannya yang merupakan pemilik Rumah Produksi Merah. 

Awie yang memegang watak sebagai Mat Dosa turut menampilkan barisan pelakon dan pelawak terkenal seperti Reen Rahim, Ropie, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Achey dan ramai lagi. 

Filem yang diarahkan oleh Razif Ajiboy Rashid sesuai ditonton bersama seisi keluarga dan bakal menjengah pawagam pada 6 Julai depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya