“SEMASA lawatan ke RTM ketika darjah enam, saya begitu teruja melihat peralatan yang berada di studio penyiaran sampai saya cakap pada cikgu ketika itu, saya ingin bekerja di sini satu hari nanti.”
Ayat itu masih tersimpan kemas dalam kotak memori pengacara legenda, Aidil Abdul Ghaffar, 55, ketika mengimbas zaman kanak-kanaknya. Siapa sangka selorohnya ketika itu merealisasikan cita-cita berada dalam dunia penyiaran sehingga menjadi pengacara disegani.
“Cikgu saya ketika itu juga masih hidup sekarang dan kalau berjumpa mesti dia akan cakap tentang peristiwa tersebut,” katanya.
DARI TADIKA PEGANG MIKROFON
Disoal bagaimana minat menjadi pengacara mula terdidik, katanya, sejak kecil dia sudah berani menonjolkan diri kehadapan. Secara tidak langsung, katanya, keberanian berdiri di hadapan ramai mula terbentuk dan membina keyakinan dirinya.
“Sejak tadika saya sudah masuk pertandingan bercerita, pegang mikrofon dan pernah menyanyi bersama pancaragam tentera ketika berusia enam tahun.
“Selalu naik pentas buat persembahan nyanyian dan jadi pengacara. Zaman persekolahan pula, saya aktif dengan persatuan. “
Selama 12 tahun saya bersekolah di Melaka dan tiga tahun di Johor,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.
KARIER DI RTM, TV3
Anak sulung daripada lima beradik ini memulakan karier dalam bidang penyiaran sejak 1986. Ketika itu, RTM adalah lokasi pertama buat Aidil berkecimpung dalam industri media.
Pada 1989, dia ditugaskan di saluran radio Johor, Best FM di frekuensi 104.1 FM sebelum menyertai TV3 pada 1993.
Selepas 2008, Aidil membuat keputusan untuk bergerak secara solo dan bergelar freelance sehingga sekarang.
Pejam celik hampir 35 tahun Aidil berpengalaman menjadi pengacara majlis sama ada melibatkan acara formal, majlis korporat dan program hiburan.
“Saya masih aktif mengacara serta menjadi tenaga pengajar bagi bengkel pengucapan awam.
“Selain itu, saya juga ada buat kerja belakang tabir dan kerja produksi seperti menerbitkan dokumentari dan pengurusan acara,” kongsinya.
Kelebihan menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia membuatkan Aidil pernah dihantar bertugas di luar negara.
Katanya, dia pernah menemu ramah artis antarabangsa seperti Halle Berry dan The Rock disebabkan kebolehan bertutur bahasa Inggeris dengan baik.
“Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail pernah hantar saya belajar kursus di Los Angeles. Baginda juga yang memilih saya menjadi juruhebah radio.
“Balik Malaysia, saya berkhidmat dengan Radio Johor sebelum menyertai TV3,” katanya.
Pada masa sama, Aidil berkata, sebenarnya ramai tidak tahu dia bermula sebagai seorang wartawan penyiaran ketika bertugas di TV3.
“Saya adalah kumpulan wartawan pertama di Melodi. Sepanjang 12 tahun Melodi guna suara latar saya, sejak zaman Fauziah Ahmad Daud, Salleh Yaacob, Saiful Apek, Haliza Misbun dan Sheila Rusly jadi pengacara Melodi.
“Ketika itu, saya seangkatan dengan Aznil Haji Nawawi yang buat rancangan Pop Kuiz, manakala, Azwan Ali pula dengan Muzik-Muzik,” katanya.
SUKA JERIT DI AIR TERJUN
Ditanya sama ada mewarisi suara garau daripada ayahnya yang pernah bergelar sebagai seorang komando tentera, Aidil menidakkan perkara tersebut.
Sebaliknya, dia mendedahkan gemar menjerit di air terjun sehingga menyebabkan berlaku perubahan terhadap vokalnya.
“Setiap kali mandi air terjun saya memang suka menjerit di bawah laluan air tersebut. Secara tak langsung berlaku perubahan pada suara sendiri.
“Sebab itu, kalau saya bercakap perlahan sekarang pun suara tetap jadi garau,” katanya.
Sebagai pengacara, sudah tentu katanya, suara adalah aset tidak ternilai dan kurniaan tiada galang gantinya.
Katanya, dia bersyukur kerana belum pernah ditimpa sebarang penyakit serius sehingga menyebabkan kehilangan suara sebelum mengacarakan majlis.
“Saya bersyukur kalau tiada suara sudah tentu tak boleh cari makan. Suara yang dimiliki sekarang semuanya adalah kurniaan Allah.
“Saya pun bukan jenis yang pantang apa-apa makanan. Semuanya saya bedal. Alhamdulillah, belum pernah terjadi sampai tahap hilang suara,” kongsinya.