PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu berkuat kuasa pada 1 Julai ini.
Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa 30 Jun ini iaitu lebih awal dari tempoh kontrak.
Felda dalam kenyataan berkata, organisasi itu optimis bahawa pelantikan itu akan dapat meneruskan kesinambungan usaha transformasi yang telah berjalan selama ini demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu secara keseluruhannya.
Dalam pada itu, Felda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Felda dan sepanjang tiga tahun perkhidmatan, beliau telah mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi itu serta warga peneroka.
“Antara kejayaan yang paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada tahun 2022.
“Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka. Bagi memperkasakan pendidikan generasi baharu Felda, Tan Sri Idris turut memperkenalkan inisiatif Felda Digital Maker Hub: Coding & Robotic, smart classroom serta menaik taraf MRSM Felda sebagai salah sebuah MRSM Ulul Albab.
“Inisiatif-inisiatif ini memberikan peluang kepada generasi baharu Felda untuk mendapat pendidikan berkualiti yang mampu meningkatkan mobiliti sosial mereka. Tan Sri Idris juga telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima,” kata kenyataan itu.
Ahmad Shabery sebelum ini merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia dan bekas Ahli Parlimen Kemaman serta kini adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Pada minggu lalu, Idris mengumumkan menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa 30 Jun ini, lebih awal dari tempoh kontrak.
Idris yang mengesahkan perkara itu di Facebook berkata, beliau menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri untuk mengundur diri daripada jawatan itu dan memberi laluan kepada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik pengganti baharu.
Bekas menteri itu dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 1 Mei 2020 kemudian disambung kontrak selama dua tahun berkuat kuasa Mei 2022 oleh pentadbiran Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kontrak baharu beliau sepatutnya tamat Mei tahun depan. – UTUSAN