TASEK GELUGOR: Ahli keluarga Muhammad Hawari Hashim bersedia dengan apa sahaja kemungkinan susulan misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) itu terpaksa ditamatkan ekoran masalah dron.
Ibunya, Che Tom Hassan, 64, berkata, beliau reda walaupun ia amat sukar untuk diterima.
“Saya dah bersedia, semua keluarga pun dah bersedia.
“Memang berat untuk cakap, kerana kami semua tahu operasi dihentikan semalam ditambah dengan faktor cuaca kurang baik.
“Namun, jauh di sudut hati, saya masih mengharapkan Warie dapat kembali dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Che Tom berkata, anak bongsunya, Muhammad Ismail, 28, dan menantunya, Mohamad Azhar Ilias, 35, bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad akan bertolak ke Nepal malam esok bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung Muhammad Hawari.
“Sekurang-kurangnya apabila ada wakil keluarga di sana, kami akan dapat maklumat lengkap berhubung operasi SAR Warie.
“Apatah lagi, kami semua memang gelisah selepas mengetahui operasi ditamatkan semalam dan besarlah harapan saya sekiranya misi mencari dapat diteruskan, jika boleh“, katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor di kediamannya.
Semalam, akhabr melaporkan, Pengurus misi ME2023, Ayu Wanirah Naharudin memaklumkan misi SAR yang sepatutnya berakhir hari ini terpaksa dihentikan berikutan dron yang digunakan gagal menerima gambar dan video dirakam.
Katanya, berita itu diterima daripada Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak yang kini berada di Everest Base Camp (EBC).
Muhammad Hawari dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu selepas berjaya menawan puncak Everest pada 18 Mei lalu, pukul 3.30 petang waktu Nepal dan 5.45 petang waktu tempatan. – UTUSAN