PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan agar segala pengorbanan rakyat Malaysia dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan negara diberi ganjaran setimpal oleh Allah.
Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka Baginda yang kini sedangkan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci turut berdoa agar semoga jemaah Haji Malaysia memperoleh haji mabrur dan selamat pulang ke tanah air tercinta.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh Rakyat Malaysia yang beragama Islam.
“Seri Paduka Baginda berdoa agar segala pengorbanan rakyat Malaysia dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan negara akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah,” kata Istana Negara menerusi kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan keizinan Allah telah berangkat untuk berwukuf di Arafah dan seterusnya bermabit di Muzdalifah semalam.
Kata Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua seterusnya akan menyempurnakan Tawaf dan Saie Haji di Masjidilharam pada hari ini bersamaan 10 Zulhijjah 1444H.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah kerana telah dikurniakan keafiatan untuk berwukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir haji,” kata kenyataan itu.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan paduka-paduka anakanda Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 2 Julai setelah berlepas ke Tanah Suci pada 21 Jun lalu.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, hari kemuncak haji pada Selasa manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu. Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada esok. – UTUSAN