AGC selar tuntutan melampau peguam waris Sultan Sulu

AGC selar tuntutan melampau peguam waris Sultan Sulu

JABATAN PEGUAM NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyangkal keras tuntutan seorang peguam kepada pihak mendakwa waris Sultan Sulu dan menafikan segala dakwaannya kerana secara terang-terangan tidak mengendahkan fakta sebenar.

Menerusi kenyataan di sini, agensi berkenaan menyelar setiap tohmahan ditulis Paul H. Cohen dalam surat beliau bertarikh 28 Mei menuntut kerajaan negara ini membayar segera sebelum tarikh semalam sejumlah AS$16.412 bilion (kira-kira RM75 bilion) termasuk 10 peratus lagi caj faedahnya.

AGC merujuk surat tersebut yang diterima pihaknya pada 29 Mei lalu daripada individu itu konon mendakwa peguam waris Sultan Jamalul Kiram II dalam tuntutan ke atas Malaysia.

Amaun itu konon untuk bayaran kepada peguam dan ahli pakar serta proses timbang tara kerana Malaysia sengaja gagal mematuhi ‘Final Award’ yang dikatakan sudah diputuskan.

Tuntutan peguam itu juga meliputi bayaran kerana Malaysia kononnya membuat dakwaan keterlaluan dan tindakan ke atas penimbang tara dilantik waris iaitu Dr. Gonzalo Stampa.

Mengulas lanjut, AGC berkata, kandungan surat Cohen itu memberi gambaran tidak tepat dan memfitnah kerajaan Malaysia berhubung tindakan undang-undang yang diambil.

“Tuntutan itu cuba mewujudkan rekod bertulis bagi perkara tidak benar bertujuan untuk digunakan ke atas Malaysia dan AGC menyelar tegas segala dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Malahan, jabatan berkenaan menambah, penuntut itu adalah melampau apabila membuat tuntutan bayaran ‘Final Award’ sedangkan prosiding perundangan masih lagi berlangsung.

AGC juga merekodkan bahawa kerajaan dengan tegas membantah ‘Final Award’ itu dan mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf semua tindakan dibuat oleh Stampa sebelum ini.

Bahkan, kenyataan AGC itu tidak memperakui segala keputusan dan ‘award’ yang pernah dikeluarkan si individu tersebut kerana memang pun tidak sah dari segi undang-undang.

Justeru ujarnya, berdasarkan dakwaan palsu menerusi surat Cohen itu, AGC bagi pihak kerajaan telah menjawab dan menyatakan jelas fakta kes berhubung tuntutan berkenaan.

Satu laporan polis juga telah dibuat kelmarin terhadap peguam itu atas kenyataannya dan dakwaan tidak adil terhadap Peguam Negara untuk membolehkan siasatan dilaksanakan.

“Tindakan ini akan menilai surat itu dengan sewajarnya apa-apa kesalahan jenayah yang dibuat oleh Cohen di bawah undang-undang Malaysia,” tambah kenyataan berkenaan.

Kerajaan kata AGC lagi, akan terus mengambil semua langkah perlu termasuk tindakan perundangan bagi menamatkan segala tuntutan oleh pihak mendakwa waris Sultan Sulu demi memastikan aspek kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi serta terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya