KUALA LUMPUR: Individu bankrap bukan culas dan lupa tanggungjawab untuk membayar balik hutang, sebaliknya semua aset mereka dibekukan sekali gus tidak dapat melunaskan pinjaman.
Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan berkata, lebih menyedihkan ada anak peminjam dan penjamin yang berstatus bankrap tidak diberi peluang melanjutkan pelajaran sedangkan memperoleh keputusan cemerlang.
Justeru kata wakil Melaka itu, mereka wajar diberikan peluang kedua dengan kerajaan perlu menambah baik sistem kebankrapan dan Rang Undang-Undang Insolvensi termasuk penetapan had masa pemfailan borang bukti hutang oleh pemiutang membabitkan Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360.
“Untuk mengelakkan isu pemfailan yang boleh menyukarkan pelepasan individu bankrap, membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik mengikut Seksyen 33C Akta 360 supaya individu yang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh lebih singkat.
“Kerajaan perlu melihat cadangan untuk membolehkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kes kebankrapan bagi memudahkan urusan pelanggan, pemegang taruh dan jabatan.
“Pindaan kepada undang-undang sedia ada itu akan membolehkan sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap mendapat pelepasan kebankrapan mereka,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Kata Fairul Nizam, peminjam berstatus bankrap sebenarnya bukan culas dalam membayar balik dan tidak lupa pada tanggungjawab, sebaliknya semua aset dibekukan.
“Mereka tidak berdoa dan meminta untuk jatuh bankrap tetapi yang sebilangannya dalam jurusan profesional mencuba nasib untuk menjalankan perniagaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk melibatkan pembabitan golongan usahawan graduan.
“Namun disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan tengah hari. Perniagaan yang dijalankan tidak berjaya sehingga mengakibatkan jatuh muflis. Berilah peluang kedua buat pemimjam dan anak-anak mereka kerana ini adalah aset negara.
“Santunilah, dekatilah, selamilah jiwa dan hati mereka. Kebiasaannya yang pernah gagal itu sarat dengan pengalaman yang berharga. Berilah peluang kedua dan permudahkan segala urusan untuk mengeluarkan daripada senarai hitam,” ujarnya. – UTUSAN