Acryl Sani ditawarkan PM peranan di luar negara - Saifuddin - Utusan Malaysia

Acryl Sani ditawarkan PM peranan di luar negara – Saifuddin

ACRYL Sani Abdullah Sani hadir pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dikatakan telah ditawarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim satu peranan di luar negara selepas persaraannya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika mendedahkan perkara itu berkata, hasrat Perdana Menteri itu disampaikan kepada Acryl Sani ketika pertemuan mereka baru-baru ini.

“Beberapa minggu lalu, hari Jumaat, saya dan KSU (Ketua Setiausaha) diminta bertemu Perdana Menteri dan selepas mesyuarat, saya dan KSU lebih awal tinggal mesyuarat. Tan Sri (Acryl Sani) dan PM teruskan berbincang.

“Saya diberitahu bahawa PM bertanyakan pelan persaraan Tan Sri (Acryl Sani). Sebenarnya kecenderungan PM untuk memposisikan beliau di satu peranan di luar negara.

“Tetapi Tan Sri (Acryl Sani) dia ingat cucu dia, keluarga dia, dia ingat jemaah masjid dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tanpa menjelaskan mengenai apakah bentuk peranan di luar negara yang ditawarkan Perdana Menteri, Saifuddin Nasution berkata, beliau memaklumkan kepada Acryl Sani bahawa selama 30 tahun mengenali Anwar, beliau bukan seorang yang mudah memberikan tawaran sedemikian.

Terdahulu, Acryl Sani dalam ucapannya berkata, tiada apa yang pelik apabila beliau perlu menamatkan tugas sebagai Ketua Polis Negara lebih awal dari tarikh asal iaitu pada 3 Oktober ini.

“Ketika saya menyatakan hasrat bersara pada 3 Oktober ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan prihatinnya menawarkan perancangan lepas saya bersara dan saya tidak jangkakan budi baik yang dipanjangkan kepada saya itu.

“Mungkin ada yang rasa pelik dengan perkara ini namun tiada apa yang janggalnya dalam peralihan kuasa. Situasi memaksa saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tugas di luar,” katanya.

Terdahulu, berlangsung majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim PULAPOL di sini, disaksikan Saifuddin Nasution Ismail.

Pada majlis sama, berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara diantara Razarudin dengan penyandang baharu, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.

Semalam, Saifuddin Nasution mengumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu, manakala Ayob Khan yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pula dilantik sebagai Timbalannya, berkuat kuasa Jumaat ini (esok).

Pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun adalah bagi menggantikan Acryl Sani yang bersara lebih awal.

Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN