PETALING JAYA: Pelawak popular, Achey ditahan di sebuah wad pusat perubatan swasta akibat benjolan di bahagian belakang tubuhnya.
Menurut rakan karib Achey, Fad dari kumpulan Bocey, pelawak itu mengambil keputusan untuk melakukan ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) di sebuah hospital Swasta di Johor bagi mengetahui punca benjolan berkenaan.
“Dia dah lama ada benjolan itu dan ada ketikanya ia menyebabkan rasa sakit badan.
“Dia dalam keadaan baik sahaja, cuma masih menunggu keputusan MRI,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Muzikal Lawak Nusantara.
Pengalaman berdepan dengan masalah slip disc membuatkan Fad memahami perasaan kurang selesa dan sakit di bahagian belakang tubuh.
Oleh itu, Fad menggesa rakan-rakan yang mengalami masalah yang sama untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Sebelum ini saya dah pernah alami slip disc, jadi saya tahu bagaimana rasa sakitnya. Sebab tu saya nasihat dia buat pemeriksaan.
“Sebarang rawatan lanjut masih belum diputuskan lagi. Saya pun belum dapat bercakap lanjut dengan selapas melakukan MRI,” ujarnya.
Walaupun sudah ditahan di wad sejak semalam, namun Fad memaklumkan pelawak itu diizinkan keluar dalam masa beberapa hari lagi.
Membawakan kembali nama Bocey di pentas jenaka, Acey dan Fad bakal tampil di konsert lawak pertama di Malaysia Muzikal Lawak Nusantara.
Konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 19 Ogos ini bakal menampilkan pelawak seperti Sharif, Atu, Melati.
Turut menjayakan konsert ialah barisan pelawak dari Indonesia seperti Sule, Rina Nose dan Aziz Gagap.