98 pelajar cemerlang SAS terima insentif wang tunai PIBG

98 pelajar cemerlang SAS terima insentif wang tunai PIBG

REEZAL Merican Naina Merican (tengah) berbual bersama lapan pelajar yang memperolehi 9A+ dalam Peperiksaan SPM Tahun 2022 di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 98 pelajar Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima insentif berbentuk wang tunai daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hari ini.

Yang Dipertua PIBG SAS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, insentif yang disampaikan itu bertujuan menyuntik semangat para pelajar serta sebagai bantuan kewangan kepada mereka untuk melangkah ke alam universiti.

“Insentif yang diberikan adalah daripada pihak PIBG dan ia sudah dijadikan tradisi sejak enam tahun yang lalu. Kita anggap setiap pelajar Tingkatan 5 yang menduduki peperiksaan SPM sebagai pembawa obor untuk sekolah, sebab itu kita boleh lihat wajah-wajah mereka di ‘billboard’ yang besar ini supaya dapat jadi pembakar semangat kepada yang lain.

“Hari ini juga kita dapat saksikan kejayaan yang agak luar biasa dicatatkan oleh SAS apabila seramai 98 pelajar berjaya memperoleh keputusan semua A dan sepanjang enam tahun saya menjadi YDP di sini, ia adalah jumlah tertinggi.

“Keputusan gred purata sekolah pula 1.07, ia adalah amat baik dengan SAS kini berada di kedudukan kedua untuk sekolah berasrama penuh (SBP). Mudah-mudahan kedudukan ini akan menjadi pendorong kepada pelajar seterusnya dan saya yakin mereka dapat kekalkan kecemerlangan sekolah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan insentif kepada pelajar cemerlang SPM 2022 di sini hari ini.

Keputusan SPM 2022 yang diumumkan hari ini menyaksikan seramai lapan pelajar SAS memperoleh keputusan cemerlang 9A+ manakala 90 lagi pelajar memperoleh kesemua A.

Dalam pada itu, walaupun terpaksa bertongkat dan terbatas pergerakan, salah seorang pelajar yang memperoleh keputusan 9A+ tetap ceria ketika hadir untuk menerima keputusan peperiksaannya.

Hadif Razin Azlee, 18, berkata, dia terpaksa menggunakan tongkat sejak minggu lalu selepas kaki kanannya terseliuh dan cedera pada bahagian ligamen ketika menyertai satu perlawanan persabahatan bola keranjang.

Menurut anak kedua daripada empat beradik yang bercita-cita untuk menjadi saintis itu, perasaannya bercampur baur selepas mengetahui dirinya berjaya memperoleh keputusan sedemikian.

“Saya mula tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran sejak di Tingkatan 3 kerana ketika itu saya lihat ramai rakan-rakan lain yang sudah mula menghadiri tuisyen, tapi saya belum ada sebarang persediaan.

“Sejak dari itu, saya mula belajar sendiri dan hasilnya saya berjaya menduduki tempat pertama ketika ujian di Tingkatan 4 dan daripada momentum itu saya terus sambung sehingga ke ujian percubaan dengan memperoleh 7A+ dan 2A,” ujarnya.

Jelas Hadif, dia turut menanam impian untuk menyambung pelajaran di Amerika Syarikat dalam bidang sains data sama ada dalam jurusan kejuruteraan petroleum atau kejuruteraan mekanikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya