9,419 premis makanan kotor, jijik diarah tutu=

9,419 premis makanan kotor, jijik diarah tutup

BAHAGIAN Penguat kuasaan menjalankan operasi ke atas premis makanan/ GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kotor dan menjijikkan. Itu antara keadaan premis makanan yang diperiksa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan menerusi operasi penguat kuasaan di seluruh negara.

Bukan sahaja perkakas peralatan memasak sangat kotor, premis juga didapati ada najis atau makhluk perosak seperti tikus dan lipas di kedai makan, restoran dan kilang makanan yang terlibat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian berkenaan Norraini Eksan berkata, daripada jumlah 496,338 premis yang diperiksa sepanjang tempoh 2018 hingga April lalu, sebanyak 9,419 premis makanan diarah tutup sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, arahan penutupan premis makanan itu kebanyakannya disebabkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan risiko keracunan makanan termasuk keadaan bangunan premis seperti tandas kotor, longkang atau sinki tersumbat serta lantai kotor.

Katanya, pemilik premis turut mengabaikan kerja-kerja pembersihan selain tidak menyelenggara peti sejuk dan stor simpanan makanan dengan baik.

“Penguat kuasaan dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap perundangan makanan dan sebagai pengajaran bahawa kesalahan dilakukan adalah serius sehingga menyebabkan bahaya kepada kesihatan orang ramai atau pengguna seperti keracunan makanan yang boleh membawa maut.

“Kaedah ini juga bagi mengelak perkara sama berulang dan menekankan bahawa aspek kebersihan premis makanan adalah tanggungjawab pemunya dan pengendali makanan yang terlibat,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Norraini, sejumlah 54,820 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dari 2020 sehingga April lalu.

Katanya, kesalahan lain yang biasa ditemukan adalah pengendali makanan tidak menjalani latihan pengendali makanan dan tidak mendapatkan pelalian antitifoid; tidak mematuhi kehendak pakaian pengendali makanan dan pengendalian makanan yang tidak bersih.

Beliau menjelaskan, aktiviti penguatuasaan dijalankan secara berkala berdasarkan pelan tindakan tahunan dan perancangan di setiap pejabat kesihatan daerah dan jabatan kesihatan negeri yang mengambil kira bilangan premis serta isu-isu kebersihan premis makanan di lokaliti masing-masing.

“Penguatkuasaan juga dilaksanakan melalui operasi bertema serta operasi bersepadu bersama pelbagai agensi berkepentingan.

“Pemilik premis perlu mematuhi keperluan yang dinyatakan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebagaimana yang disampaikan melalui latihan pengendali makanan yang wajib dihadiri oleh semua pengendali makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Norraini berkata, pengguna juga boleh memainkan peranan bijak dengan memilih premis makanan bersih untuk menjamu selera antaranya memerhatikan dan mengelak penjual atau pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya