KUALA LUMPUR: Seramai 81 pemain berentap pada kejohanan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) edisi ke-13 yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, 48 adalah pemain remaja lelaki dan 33 remaja perempuan yang kesemuanya ditampilkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Akademi Tunas Bestari (ATB).
Kebanyakan pemain muda yang dibawa MGA adalah pemain negara dan dipilih berdasarkan prestasi tertinggi, dan sebahagian mereka bermain serta belajar atas biaya geran pembangunan golf terutamanya di Amerika Syarikat.
Manakala ATB yang dinaungi TSMCG pula mengetengahkan pemain mereka yang berbakat iaitu Ezzekiel Riz Hafi Suzearitz, 14; Alya Batrisya Shaari, 15; Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani, 14, dan See Wye, 16 tahun.
Hari pertama kejohanan TSMCG edisi ke-13 ini dimulakan secara serentak (shotgun start) di mana 14 flight bermula lubang satu (first nine) dan 13 flight lagi di lubang 10 (2nd nine).
Semua pemain berentap di lapangan East Course dengan kelajuan green 10.4 stimpmeter.
Untuk rekod, TSMGC sejak edisi sulungnya merupakan platform bagi pemain golf muda amatur bersaing dan membuka peluang ke peringkat antarabangsa.
Terlebih dahulu, sebelum kejohanan bermula, majlis pelancaran TSMCG edisi ke-13 itu telah disempurnakan oleh Presiden TSMCG, Datuk Mustapha Buang sambil disaksikan oleh Pengerusi Kejohanan, Datuk Wan Shalihuddin dan Setiausaha Kehormat MGA, Datuk Zulkifli Ismail. – UTUSAN