PUTRAJAYA: Lebih 8 juta golongan B40 yang layak bakal menerima Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR 3) mulai 26 Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha berbanding perancangan awal pada bulan depan.
Menurut beliau, pembayaran ini membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion yang mana penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
“Ini adalah bagi meringankan beban kewangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, fasa pertama dan kedua STR disalurkan pada bulan Januari dan April lepas.
Katanya, ketiga-tiga fasa STR ini melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi tahun ini, manakala pembayaran fasa keempat STR dijangka pada bulan November depan.
“Status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun ini. Sebagai langkah memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai ini.
“Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM),” katanya.
Bagi penerima STR 3, mereka yang mempunyai akaun bank, bayaran dikreditkan terus ke akaun bank dalam tempoh 26 Jun hingga 5 Julai ini, manakala mereka yang tiada akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak), pembayaran tunai dilaksanakan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 26 Jun ini.
Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my. – UTUSAN