PEKAN: Seramai 74 pegawai dan 790 anggota lain-lain pangkat (LLP) Skim Penugasan Sepenuh Masa (Kerahan) Askar Wataniah diserap ke angkatan tetap setelah diberikan peluang oleh Tentera Darat sejak 2020.
Pada tahun ini, seramai 37 pegawai dan 471 anggota LLP dari skim itu akan diserap ke angkatan tetap.
Seramai 18 pegawai dan 295 anggota LLP diserap pada 2020 dan pada tahun lalu 19 pegawai, 24 LLP. Tiada penyerapan pada 2021.
Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail berkata, penyerapan perdana pada tahun ini akan direalisasikan pada bulan depan setelah mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera yang bersidang 14 Jun lalu.
“Penyerapan ini membuktikan kecemerlangan Askar Wataniah sekali gus langkah yang sama akan diteruskan akan datang,” katanya pada majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-65 di Rejimen 505 Askar Wataniah, Kem Force 136 di sini.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, lebih ramai golongan awam daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai perkhidmatan Sukarela Askar Wataniah.
“Penglibatan orang awam dalam tempoh terdekat ini dijangka dapat membantu menambahkan jumlah anggota Wataniah pada paras kekuatan nisbah satu kepada satu menjelang 2025,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar berkata, program penyerapan bermula sejak awal penubuhan Askar Wataniah lagi.
Katanya, sebelum ini penyerapan dibuat secara berkala dan kecil-kecilan bergantung kekosongan jawatan dan kelayakan anggota.
“Pada awal penubuhan tidak ramai diserap secara tetap bergantung kekosongan jawatan. Kalau ada kekosongan jawatan dalam angkatan tentera dan kita lihat mereka berkelayakan dari pelbagai faktor seperti pendidikan, kesihatan dan kemahiran dimiliki, kita akan beri peluang anggota ini untuk diserap ke jawatan tetap.
“Pengambilan anggota kepada tetap pada tahun ini diambil secara besar-besaran dan merupakan antara yang paling ramai diserap,” katanya.
Beliau berkata, kesemua pegawai dan anggota LLP yang diserap ke jawatan tetap akan menikmati kemudahan seperti dimiliki penjawat awam lain antaranya gaji tetap, pencen dan pinjaman rumah.
“Oleh itu, menjadi sukarelawan Askar Wataniah ini boleh membuka ruang kepada pegawai dan anggota yang layak diserap ke jawatan tetap.
“Kami begitu menggalakkan penyertaan orang awam ke dalam Askar Wataniah. Mereka yang menjadi sukarelawan ini akan diberikan elaun sewajarnya setara gaji seorang prebet sekiranya mengikut latihan yang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN