BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 708 buah motosikal diperiksa dengan dua daripadanya disita sepanjang penguatkuasaan khas Ops Motosikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lorong motosikal berhampiran Jambatan Pulau Pinang, petang semalam.
Menurut jurucakap JPJ negeri, dalam operasi yang berlangsung selama tiga jam bermula pukul 4 petang itu, sebanyak 219 notis saman dan teknikal juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan itu termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Kesalahan lain yang turut dikesan ialah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’, tiada cermin sisi serta melakukan pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, katanya, operasi motosikal itu diadakan bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang selain memastikan motosikal tidak diubahsuai untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.
“Tindakan tegas akan dikenakan termasuk motosikal disita jika didapati ubah suai untuk tujuan tersebut masih dilakukan,” ujar beliau.
Tambahnya, penunggang dan pemilik motosikal juga dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang selain menunggang dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya. – UTUSAN