64 jemaah haji dirawat akibat jangkitan paru-paru

64 jemaah haji dirawat akibat jangkitan paru-paru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 64 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di hospital Tabung Haji (TH) dan hospital Arab Saudi setakat ini akibat jangkitan paru-paru disebabkan keadaan cuaca panas di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jumlah jemaah itu termasuk 38 lelaki dan 28 wanita yang menjalani rawatan dan mendapatkan kesembuhan cepat supaya dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

“Pada masa sama, TH turut melaksanakan inisiatif baharu program pendidikan kesihatan kepada jemaah haji melalui ‘Ziarah Rahmah’ dengan memeriksa kesihatan jemaah haji dari bilik ke bilik di bangunan penginapan di Madinah dan Mekah.

“Ini adalah salah satu usaha TH dalam mencegah jangkitan penyakit dan menangani risiko kesihatan dalam kalangan jemaah haji Malaysia di mana penyakit berkaitan sistem pernafasan sering berlaku pada setiap musim haji,” katanya ketika ditemui di Kompleks Haji di Movenpick di sini, hari ini.

Mohd. Na’im berkata, menerusi inisiatif itu, TH dapat memastikan jemaah haji menerima maklumat serta pendidikan kesihatan untuk mereka mempraktikkan aktiviti pencegahan.

Menurutnya, melalui ziarah itu juga, petugas dapat mengenal pasti sama ada jemaah mengalami masalah kesihatan untuk dirujuk ke klinik atau pakar perubatan berkaitan.

Mohd Na’im dan isteri, Datin Nik Roslini Raja Ismail akan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH 8188 untuk berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji sekitar 4 petang ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Taufiq Fawzan Al-Rabiah dan berharap ia membuahkan hasil.

Setakat ini, hampir 90 peratus penerbangan haji berlepas ke Tanah Suci di mana seramai 29,212 jemaah haji Malaysia telah pun berada di Tanah Suci.

Penerbangan terakhir bagi fasa pertama membawa jemaah ke Tanah Suci akan berakhir pada Rabu ini, manakala tarikh penerbangan pertama balik dari Tanah Suci adalah pada 6 Julai sehingga 2 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya