Lima dekad Sweet Charity masih berbisa - Utusan Malaysia

Lima dekad Sweet Charity masih berbisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah mempertahankan legasi sesebuah kumpulan, apatah lagi setiap ahli sudah pasti mempunyai hala tuju tersendiri.

Walaupun kelibat penyanyi legenda, Datuk Ramli Sarip lebih banyak beraksi di pentas secara solo, namun hakikatnya vokalis utama kumpulan Sweet Charity ini tidak pernah meninggalkan kugiran yang sudah lima dekad bertapak dalam industri muzik.

Menyedari hakikat kumpulan yang popular dengan muzik rock masih mempunyai peminat tersendiri, Ramli bersama ahli kumpulan lain tekad mengadakan konsert berskala besar, Konsert Berita Gempa.

“Tak banyak kumpulan muzik di Malaysia yang masih ada lagi dan penonton ingin menyaksikan persembahan mereka.

“Jadi, ini adalah kenangan dan pengalaman manis buat kami,” katanya mengenai konsert yang julung kali akan diadakan di Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru, 29 Julai depan.

Selain Ramli yang terkenal dengan jolokan Papa Rock, konsert itu bakal menampilkan gitaris Sweet Charity, Rosli Mohalim, Ahmad Jaafar (pemain keyboard) dan Rahman Sarbani (dram).

Selepas Johor, konsert ini bakal menjelajah ke Sarawak pada September, dan Kuala Lumpur dijangka November.

Konsert ini juga meraikan kemunculan semula mereka selepas 12 tahun, sejak kali terakhir Sweet Charity beraksi bersama di atas pentas.

BUKAN SOAL LUMAYAN

Bukan soal tawaran lumayan yang diberikan oleh penganjur, namun kata Ramli, konsert ini adalah satu bentuk penghargaan kepada peminat bagi mengimbau semula penubuhan Sweet Charity pada 1969 di Singapura.

Jelasnya, konsert itu adalah sebuah projek istimewa yang menggabungkan kesemua ahli yang masih mempunyai ‘gigitan’ dan ‘taring’ tersendiri.

“Kami terima tawaran mengadakan konsert bukan soal bayaran lumayan ataupun tribute, sebaliknya ia adalah satu perjalanan yang ingin dikongsikan kepada peminat dan pencinta seni.

“Kita pernah berhenti seketika semasa pandemik Covid-19. Ketika itu, Rosli diserang penyakit strok, namun Alhamdulillah dia kini sudah pulih dan 90 peratus keadaannya kembali baik.

“Begitu juga dengan Ahmad Jaafar yang pernah ada masalah jantung, tetapi sudah sembuh dan dapat buat persembahan terbaik kerana masing-masing aktif dengan projek sendiri,” katanya.

Ditebak penganjuran konsert yang kian rancak berlangsung di negara ini termasuk artis dari luar negara, kata Ramli, Sweet Charity tidak pernah bersaing dengan mana-mana kumpulan.

Katanya, Sweet Charity mempunyai identiti tersendiri dan jenamanya tidak akan menyamai mana-mana kumpulan lain.

“Kalau dibandingkan dengan Coldplay sekalipun, pengikut kita sangat berbeza dengan mereka. Kami juga tidak pernah berniat untuk bertanding dengan sesiapa kerana hanya mahu persembahkan apa yang kita miliki selama ini.

“Panggillah band mana sekalipun, tetap tidak akan sama dengan kita. Sudah tentu penganjur yakin dengan kemampuan kami,” katanya.

BUKAN JUARA PENTAS

Sweet Charity yang pernah dilabel sebagai Deep Purple dan Santana Singapura asalnya bermula dari sebuah band kampung yang banyak mengadakan persembahan semasa kenduri kahwin.

Ramli berkata, mereka juga giat mengadakan persembahan di majlis tari-menari serta hotel dan kelab terkemuka di Singapura.

Jelasnya, pengalaman itu sebenarnya mengajar banyak perkara sehingga kumpulan mereka meledak dengan lagu-lagu hits seperti Kamelia, Teratai dan Sejuta Wajah.

“Kalau tanya peminat dari era 80-an semua tahu Sweet Charity mempunyai persembahan yang kental di atas pentas.

“Kami bukan juara pentas, tetapi kami pegang takhta sebagai penghibur di atas pentas. Kami sudah biasa beraksi di atas pentas besar dan mana-mana konsert mesti penganjur minta kami buat persembahan terakhir.

“Setiap lagu yang kita tinggalkan mempunyai legasi tersendiri. Lapan album yang kita pernah hasilkan mempunyai kesan dan penceritaan tersendiri. Walaupun ketika itu proses pembuatan album tidaklah begitu teliti kerana tidak mempunyai jurutera bunyi yang mahir,” kongsinya.

Mengimbas sejarah terciptanya nama Sweet Charity, Ramli berkata, nama itu sebenarnya hanya berkisarkan tentang sesuatu yang manis semata-mata dan tidak mempunyai maksud yang tersirat.

Baginya, mana-mana kumpulan bebas meletakkan sebarang nama asalkan tidak membawa maksud yang pelik.

“Sebelum Sweet Charity, sebenarnya kami ada nama lain. Nama ini sebenarnya lahir daripada seorang bernama Mat Bon. Dia pernah berhasrat mahu menjadi pengurus kumpulan namun tidak kesampaian.

“Bila sudah jadi popular, orang ramai mula kenal dengan nama Sweet Charity. Kalau ikutkan muzik yang kita bawa seperti tidak sesuai pula nama itu.

“Teras muzik Sweet Charity adalah rock sehingga kami pernah dilabelkan sebagai kumpulan yang mempunyai pengaruh kuning (pengaruh Barat).

“Kita memang suka muzik begitu malahan bersesuaian dengan imej berambut panjang ketika zaman awal kemunculan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya