42 hospital kluster berjaya dibentuk libatkan 146 hospital

42 hospital kluster berjaya dibentuk libatkan 146 hospital

ZALIHA Mustafa melancarkan portal rasmi Program KOSPEN WOW pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKM Putrajaya.. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 42 buah hospital kluster berjaya dibentuk sejak sedekad lalu melibatkan 146 daripada keseluruhan 149 hospital di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara pencapaian yang terhasil sepanjang pelaksanaan inisiatif itu adalah peningkatan penggunaan fasiliti terutamanya di hospital tanpa pakar serta menambah baik waktu menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan.

Katanya, ia merupakan satu pencapaian membanggakan bagi satu inisiatif dengan jalinan kerjasama antara hospital induk dan hospital-hospital lain di bawahnya membawa kepada penyampaian perkhidmatan kepakaran berkualiti, selamat dan bersepadu melalui sistem perkhidmatan pengurusan kesihatan lebih efisien.

“Sememangnya pelaksanaan inisiatif hospital kluster banyak membantu Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan mutu perkhidmatan walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan bagi memenuhi keperluan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, penjimatan melalui pembelian secara pukal juga dapat dilaksanakan melalui penggabungan hospital-hospital ini sebagai sebuah kluster.

Jelas beliau, sebanyak RM1.26 juta penjimatan pada 2019 diperoleh melalui pembelian secara pukal bagi item konsumabel di 10 buah hospital kluster.

“Bagi mengabdikan kejayaan sedekad hospital kluster ini, satu e-book akan dilancarkan sebagai panduan dan rujukan semua mengenai bagaimana inisiatif ini dimulakan, kejayaan dan hala tuju,” ujarnya.

Hospital kluster adalah penggabungan dua atau lebih hospital-hospital berpakar dan hospital tanpa pakar di lokasi geografi berdekatan yang dilaksanakan bagi menyelaras perkhidmatan melalui perkongsian dan pengoptimum sumber-sumber di dalam hospital terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN