TASEK GELUGOR: Tiada apa yang lebih menggembirakan buat empat buah keluarga di sini menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi apabila menerima kunci rumah masing-masing daripada pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Keempat-empat mereka iaitu Md. Nasir Md. Shariff, 42; Siti Nooraie Hassan, 36; Hasimi Ayu Hashim, 47; dan Rosmida Yahya, 40, menerima kunci rumah itu di bawah program Rumah Kasih Ihsan yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) melalui Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP).
Selain dibina di Kampung Tok Bedu, di sini, tiga lagi lokasi pembinaan rumah percuma berharga RM75,000 yang berkeluasan 61.3 meter persegi itu ialah di Padang Menora, Penaga (Kepala Batas) dan Machang Bubuk di Bukit Mertajam.
Ia dibina di atas tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara (TOL) dan tanah milik keluarga yang diberikan kebenaran untuk membina kediaman atas tanah terbabit.
Dalam pada itu, salah seorang penerima rumah terbabit iaitu Md. Nasir berkata, dia memohon untuk mendapatkan rumah itu sejak hujung tahun lalu dan bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan.
“Saya memohon untuk ‘renovate’ (ubah suai) rumah lama sahaja iaitu rumah pusaka yang saya duduk, tapi depa (kerajaan) mahu buat rumah baru terus untuk ganti rumah lama.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada PM (Perdana Menteri) dan kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat berpendapatan rendah seperti kami,” katanya ketika ditemui semasa majlis penyerahan kunci rumah itu di Kampung Tok Bedu, hari ini.
Seorang lagi penerima, Siti Nooraie pula memberitahu, dia memohon untuk mendapatkan rumah tersebut sejak tiga tahun lalu dan sangat gembira apabila permohonannya diluluskan dan rumah itu boleh diduduki sebelum Hari Raya Aidiladha akan datang.
“Suami saya terlantar sakit akibat kemalangan awal tahun lalu dan saya sangat bersyukur kerana dengan adanya rumah baharu ini, membolehkan dia tinggal dengan lebih selesa.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan yang banyak membantu kami,” kata ibu kepada empat anak itu yang kini sudah dua bulan tidak bekerja kerana menjaga suaminya yang sakit.
Terdahulu, ketika lawatan kerjanya ke Pulau Pinang pada 14 April lalu, Anwar mengumumkan mengenai pembangunan tanah wakaf di Permatang Pauh yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan majlis pecah tanah projek berkenaan dijangka dilakukan pada Ogos ini.
Pembangunan tanah wakaf itu secara langsung akan membuka peluang pemilikan rumah kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam komuniti yang kondusif. – UTUSAN