37 motosikal disita, 391 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan - Utusan Malaysia

37 motosikal disita, 391 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Op Samseng Jalanan di Pasir Puteh berhampiran Station 18 di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 37 buah motosikal disita manakala 391 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh berhampiran Station 18 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, lapan lelaki warga tempatan ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya.

Katanya, mereka yang berusia antara 17 hingga 24 tahun itu diberkas untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Dalam operasi selama enam jam itu, kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas 185 kenderaan dan memeriksa 258 individu.

“Daripada jumlah itu, 37 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai. Kita juga mengeluarkan 391 keping saman kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, pihaknya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan kerana positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek berusia 24 hingga 32 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

“Pihak polis akan terus menjalankan operasi bersepadu seumpama ini dari masa ke semasa bagi memperkasakan undang-undang terhadap aktiviti samseng jalanan di daerah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN