KANGAR: Terpancar keceriaan di wajah 30 banduan Pusat Koreksional Perlis selepas terpilih dalam Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) bersempena Hari Raya Aidiladha.
Semua banduan terlibat dalam program berkenaan terpilih bagi mendapatkan lesen Orang Bebas Berlesen (OBB) di mana tiga daripada mereka akan dihantar ke Langkawi, dua ke Kota Setar dan selebihnya di Kangar.
Menurut salah seorang banduan dikenali sebagai Zakwan, 40-an, dia berasa sangat gembira apabila terpilih dalam program berkenaan selepas menjalani hukuman di pusat itu bermula sejak Mac lalu.
“Saya amat bersyukur apabila dapat bersama keluarga pada Hari Raya Aidiladha kali ini. Ini sememangnya peluang yang amat dinantikan untuk bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi banduan dikenali sebagai Faizal, 30-an, berkata, sejak menjadi banduan di pusat berkenaan, aspek disiplin penghuni di sana sememangnya amat diberi penekanan dengan sebaiknya.
Dia yang sebelum ini ditahan atas kesalahan dadah berkata, pembebasan lebih awal itu sememangnya memberi semangat baharu buat dirinya untuk menjadi insan lebih baik selepas ini.
“Terima kasih kepada kerajaan dan Jabatan Penjara Malaysia yang memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan menerusi pembebasan awal ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Koreksional Perlis, Penolong Komisioner Penjara Rizalman Che’ Abd Hamid berkata, tujuan banduan berkenaan dibebaskan awal adalah sebagai pra persediaan untuk bersama masyarakat dan komuniti bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Katanya, sebanyak lima majikan telah bersetuju bagi menerima OBB pada kali ini untuk bekerja dalam pelbagai bidang antaranya seperti perkhidmatan, perladangan dan pembuatan.
“OBB ini juga akan dipantau oleh Pejabat Parol Daerah (PPD) sepanjang mereka berkhidmat dengan majikan bagi memastikan pihak terlibat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, untuk tempoh bermula tahun ini sehingga bulan Jun, seramai 161 banduan di pusat itu telah terpilih bagi mengikuti program PBSL berkenaan selepas mendapat lesen daripada Ketua Penjara Malaysia.
“Dengan lesen yang diberikan ini, banduan terlibat sebenarnya masih mempunyai baki hukuman namun mereka boleh menjalaninya di luar penjara dengan bekerja dan menetap bersama keluarga,” katanya.-UTUSAN