3 lelaki upahan rampas kereta direman lima hari - Utusan Malaysia

3 lelaki upahan rampas kereta direman lima hari

TANGKAP layar kejadian seorang lelaki ditarik keluar dan keretanya dilarikan dua lelaki dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang pagi kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Tiga lelaki tempatan direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan kereta milik seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat kawasan Mak Mandin, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, kesemua suspek yang berusia antara 27 sehingga 49 tahun itu ditahan semalam menerusi tiga tangkapan berasingan di Kuala Kangsar, Perak, Seberang Jaya dan Butterworth.

Katanya, tangkapan dibuat susulan tular video berdurasi 24 saat yang memaparkan dakwaan sebuah kereta yang dinaiki oleh seorang individu berkenaan telah disamun.

“Hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat kawasan Mak Mandin dan satu laporan telah dibuat mangsa pada hari yang sama.

“Bertindak di atas maklumat, tangkapan berjaya dibuat dan polis merampas sebuah kenderaan serta pakaian yang dipakai ketiga-toga suspek semasa kejadian.

“Ketika ditahan, ketiga-tiga suspek turut berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berusia 57 tahun telah membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 daripada seorang lelaki pada tahun 2020.

“Melalui perjanjian bertulis, ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta berkenaan sekiranya gagal membayar pinjaman terbabit.

“Memandangkan ibu mangsa gagal membayar pinjaman itu, lelaki (pemiutang) terbabit mengupah penarik kereta untuk merampas kereta mangsa,” katanya.

Polis masih dalam usaha mengesan suspek yang masih bebas dalam kes terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN