IPOH: Sebanyak 296 kes direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak membabitkan kebakaran terbuka di negeri ini dalam tempoh sebulan sejak Mei lalu.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, kebakaran membabitkan belukar atau lalang merekodkan statistik tertinggi iaitu 223 kes diikuti sampah dengan 50 kes manakala hutan dan kebun masing-masing dengan 14 dan sembilan kes.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Manjung dan Sitiawan merupakan balai yang merekodkan kes tertinggi bagi kebakaran terbuka.
“Ada beberapa kawasan panas yang dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran antaranya di Ipoh, Sitiawan, Pasir Puteh, Meru dan Simpang Pulai. Kebanyakan kes melibatkan belukar di mana terkini di Bagan Serai iaitu kebakaran bukit.
“Kita minta kerjasama orang awam terutama pekebun yang mahu membersihkan kebun masing-masing agar jangan melakukan pembakaran terbuka.
“Dalam keadaan cuaca begini (panas), ia akan menyebabkan kebakaran merebak lebih cepat. Kita tidak mahu kebakaran yang berlaku menyebabkan kerugian yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sejak Januari lalu, sebanyak 5,268 panggilan diterima JBPM Perak membabitkan kes kebakaran (1,775), penyelamatan (3,487) dan tugas-tugas khas (6).
“BBP Ipoh merekodkan panggilan tertinggi sebanyak 447 kes diikuti BBP Sitiawan dengan 296 kes dan 293 kes bagi BBP Meru Raya,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengusaha inap desa bagi meningkatkan kesedaran risiko aktiviti air.
Katanya, ketua-ketua balai akan diminta untuk mengenal pasti kawasan-kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan supaya kerjasama dapat diwujudkan dengan pengusaha inap desa berkaitan keselamatan di air.
“Kita mahu pengusaha inap desa berhampiran sungai atau lubuk ini diberi tanggungjawab memberi peringatan kepada pengunjung tentang bahaya yang mungkin ada di persekitaran.
“Ini bukanlah bertujuan untuk menakutkan pengunjung tetapi sebagai peringatan untuk mereka sama-sama meningkatkan tahap keselamatan diri dan anak-anak,” katanya. – UTUSAN