2,800 golongan B40 dijangka dapat manfaat Program Korban Perdana 2023 - Utusan Malaysia

2,800 golongan B40 dijangka dapat manfaat Program Korban Perdana 2023

TUN AHMAD FUZI Abdul Razak (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Korban Perdana 2023 Negeri Pulau Pinang di Medan Madani, Masjid Negeri Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai 2,800 golongan B40 di negeri ini dijangka mendapat manfaat menerusi Program Korban Perdana 2023 yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (Yayasan Amal TYT Pulau Pinang).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, menerusi program itu sebanyak 100 ekor lembu akan dijadikan korban dan 92 buah masjid serta lima buah surau dipilih untuk mendapat sekurang-kurangnya seekor lembu untuk dijadikan korban.

Katanya, Program Korban Perdana 2023 itu adalah program pertama dianjurkan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Idea mengadakan Program Korban Perdana 2023 adalah hasil ilham murni daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

“Objektif utama Program Korban Perdana 2023 adalah untuk mengukuhkan ikatan silaturahim diantara Ulil Amri iaitu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, pihak yang berkorban dan penerima golongan B40,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan lembu korban perdana di Masjid Negeri, di sini hari ini yang disempurnakan Tun Ahmad Fuzi.

Menurut beliau, masjid-masjid dan surau terpilih untuk menerima lembu korban itu adalah 14 buah masjid di daerah Barat Daya, Timur Laut (17); Seberang Perai Selatan (15); Seberang Perai Tengah (20); Seberang Perai Utara (Kepala Batas-20); Seberang Perai Utara (Butterworth -11).

Tambah Rozali, pihaknya berharap pada tahun-tahun akan datang, lebih ramai pihak yang berkorban serta bekerjasama dengan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang.

”Ia bagi membolehkan 217 buah masjid dan 19 buah surau yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat mendapat lembu korban dari Ulil Amri dan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, penyumbang lembu untuk program berkenaan, Roslan Yahaya daripada syarikat JKP Sdn. Bhd. berkata, sebelum ini setiap kali Hari Raya Aidiadha syarikat berkenaan menyumbang lembu kepada sebuah masjid di Jalan Macalister.

”Namun, kali ini pengurusan syarikat memilih menyertai Program Korban Perdana 2023 anjuran Yayasan Amal TYT Pulau Pinang bagi membolehkan sumbangan lembu korban daripada syarikat berkenaan sampai kepada lebih ramai golongan memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya