200 mangsa desak SSM siasat syarikat pelaburan tipu - Utusan Malaysia

200 mangsa desak SSM siasat syarikat pelaburan tipu

HISHAMUDDIN Hashim bergambar bersama mangsa ketika demonstrasi pelaburan haram di Menara SSM, KL Sentral. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didesak sekali lagi agar menjalankan siasatan terhadap penipuan skim pelaburan selepas kira-kira 200 mangsa tampil hari ini.

Desakan itu selepas kesemua mangsa kecewa masih tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas syarikat pelaburan terlibat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, SSM didesak melakukan siasatan mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Kata beliau, mangsa yang hadir hari ini pernah membuat aduan di SSM pada Mac lalu dan hadir semula kali ini bagi menyerahkan penyataan tambahan mengenai penipuan dilakukan syarikat pelaburan itu.

“Sehingga kini belum ada sebarang pengesahan dikeluarkan oleh SSM sama ada syarikat pelaburan terbabit berdaftar di bawah Akta 778 atau sebaliknya.

“Berdasarkan maklumat, syarikat terbabit tidak berdaftar di bawah akta itu yang bermakna mereka menjalankan skim pelaburan secara haram,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas beliau, dipercayai terdapat kira-kira 220 syarikat yang menawarkan skim pelaburan berkonsep boleh tebus Islamik dan menggunakan ‘deposit information memo’ untuk memperdaya pelabur.

Beliau yakin SSM adalah agensi yang bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan kerana pelaburan mereka tidak sah.

“SSM juga didesak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status skim pelaburan itu bersama senarai syarikat yang masih mempromosikan skim pelaburan haram bagi mencegah lebih ramai menjadi mangsa,” jelasnya.

OSMAN Asri pada demonstrasi pelaburan haram di Menara SSM, KL Sentral. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Dalam pada itu, seorang pemandu e-hailing, Osman Asri, 57, mendakwa mengalami kerugian RM20,000 selepas melabur ke dalam sebuah syarikat pelaburan yang diperkenalkan oleh rakannya pada 2021.

Menurutnya, rakan yang juga ejen syarikat pelaburan itu meyakinkan dia mengenai pelaburan berkonsep boleh tebus Islamik.

“Ketika itu saya baru dapat wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saya melabur sebahagian daripadanya untuk menambah pendapatan bulanan.

“Saya sempat menerima pulangan keuntungan sebanyak RM500 setiap bulan selama setahun.

“Selepas kontrak pelaburan tamat, saya minta untuk tebus semula dan tidak mahu menyambung kontrak.Syarikat dakwa dah tebus semula pelaburan saya tetapi mereka tak pulangkan duit pelaburan itu sehingga kini,” jelasnya.

Kata Osman, dia cuba menghubungi syarikat namun pelbagai alasan diberikan termasuk meminta saya bersabar.

Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dan anak yang juga atlet negara kerugian RM150,000 selepas terpedaya dengan ejen syarikat pelaburan berkenaan.

Lelaki berusia 50-an itu mendakwa didatangi ejen syarikat itu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah institusi perbankan dan menawarkan pelaburan yang memberi keuntungan antara tiga hingga empat peratus sebulan.

“Saya sangka pelaburan itu di institusi perbankan berkenaan tetapi sebenarnya di syarikat pelaburan luar. Tapi disebabkan sudah tandatangan perjanjian jadi saya teruskan dan sempat menerima pulangan selama tiga bulan.

“Selepas itu, saya tidak lagi menerima pulangan daripada pelaburan sehingga kini dan terpaksa menanggung kerugian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya