KOTA BHARU: Masalah gangguan bekalan air bersih yang melanda negeri ini sudah berlarutan lebih 20 tahun lalu sehingga memaksa penduduk memilih menggunakan telaga tiub.
Selain masalah tersebut, rata-rata pengguna terpaksa membayar bil bulan secara tetap walaupun tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak pengendali.
Situasi itu belum mengambil kira kualiti air seumpama ‘kopi o’ atau ‘teh tarik pekat’ yang keluar daripada kepala paip setiap kali dibuka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga dari Rantau Panjang, Muhamad Zalani Che Awang, 45, meluahkan rasa kecewa dengan perkara tersebut yang telah menjejaskan pendapatannya.
Menurutnya, disebabkan masalah itu dia terpaksa membeli air minuman untuk membersihkan gelas, cawan dan pinggan yang sudah digunakan oleh pelanggan.
“Bekalan air sering terputus, tetapi saya tidak pernah ‘terlupa’ untuk membayar bil antara RM25 hingga RM30 sebulan.
“Jadi saya harap pihak berkenaan dapat mengambil serius perkara ini. Bekalan air satu keperluan penting buat saya untuk memastikan ‘dapur’ di rumah terus berasap,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat dekat sini mendapati, penduduk terpaksa menggunakan sumber daripada telaga tiub walaupun berbau busuk sebagai alternatif mengatasi masalah tersebut.
Roslida Mohamed Nor, 48, semasa mendedahkan keperitan berkait dengan masalah itu memberitahu, disebabkan bekalan air bersih sering terputus, dia lebih selesa menggunakan sumber telaga tiub.
Menurutnya, walaupun sumber telaga tiub itu berbau busuk ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada air bersih.
“Disebabkan masalah itu, semua urusan harian tergendala sehingga saya terpaksa berjaga malam untuk menadah air. Hal ini kerana air hanya keluar pada waktu malam disebabkan oleh masalah tekanan rendah.
“Untuk air minum pula, saya terpaksa menggunakan penapis air. Walaupun terpaksa mengeluarkan kos untuk membeli penapis air namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Bagi peniaga, Zaharah Salleh, 72, pula, dia terpaksa menggunakan air daripada mesin penapis untuk menyediakan minuman kepada pelanggannya.
Katanya, walaupun ada menggunakan sumber daripada telaga tiub namun air tersebut berbau selain rasa menjadi pelik apabila dipanaskan.
“Kalau saya beri minum air telaga tiub yang dipanaskan itu, pasti pelanggan akan rasa pelik.
“Kawasan ini ada sebuah perigi yang airnya tidak berbau. Namun saya tidak sanggup untuk memunggahnya kerana jarak terlalu jauh,” jelasnya.
Zaharah berkata, adakalanya dia terpaksa menggunakan air bersih yang dibeli untuk mencuci gelas, cawan dan pinggan selepas diguna oleh pelanggan. – UTUSAN