KUALA SELANGOR: Seramai 13 pelajar perempuan Sekolah Menengah Islam (SMI) Addimyati, Kampung Assam Jawa di sini, terselamat dalam kebakaran melibatkan bangunan asrama sekolah itu, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu turut menyelamatkan nyawa seorang warden wanita berusia 21 tahun yang berada di sebuah bilik di bangunan sama.
Difahamkan, kebakaran bagunan yang turut menempatkan surau, perpustakaan dan bilik kuliah kecil itu berlaku ketika semua pelajar berusia 13 hinggga 17 tahun berkenaan sedang nyenyak tidur.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama sepasukan 12 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor selepas menerima panggilan kecemasan, kira-kira pukul 4.30 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak memusnahkan bangunan teres satu tingkat kelas A yang dijadikan asrama sekolah.
“Kebakaran itu melibatkan kemusnahan sebanyak 80 peratus dan berjaya dikawal pukul 5.03 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohamadul Ehsan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa terselamat dan punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN