PETALING JAYA: Polis menahan seramai 13 lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Bukit Ampang, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, polis menerima aduan berkaitan pergaduhan membabitkan dua kumpulan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil siasatan mendapati rusuhan berpunca akibat tidak puas hati dengan satu kumpulan yang membuat bunyi bising dengan bunyi enjin motosikal.
Katanya, perbuatan itu mengakibatkan suspek daripada kumpulan lain menegur dan berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara mereka.
“Akibat kejadian itu, tiga suspek mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan itu, semua suspek berusia 15 hingga 26 tahun ditahan di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Selasa lalu.
Jelasnya, tangkapan melibatkan seorang pelajar sekolah, penghantar makanan, pembantu jualan dan penganggur.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif. Tiga suspek berusia 20 hingga 26 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah,” ujarnya.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman empat hari sehingga 3 Jun ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
“Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam perbuatan merusuh dan bergaduh,” katanya. – UTUSAN