ALOR SETAR: Seramai 12 ‘ubi muda’ yang bernaung di bawah Kedah Darul Aman FC F (KDA FC F) bakal meraih pengalaman berharga apabila mengikuti latihan asas bersama akademi bola sepak terkemuka dunia, Real Madrid selama seminggu bermula 17 hingga 25 Jun depan.
Peluang tidak ternilai itu hadir setelah mereka yang rata-ratanya berusia 14 tahun berjaya menjuarai kejohanan bola sepak remaja anjuran TH Global Football Camp (THGFC) di Pulau Pinang, awal tahun ini.
Pasukan itu terbentuk hasil kerjasama antara KDA bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.
Dalam struktur pembangunan dirancang, pasukan pembangunan remaja KDA FC akan dikenali sebagai KDA FC E untuk pasukan bawah 17 tahun dan KDA FC F bagi pasukan bawah 14 tahun.
Sementara itu, Pengasas THGFC, Tunku Datuk Harrunarasheed Putra Tunku Annuar berkata, kesemua pemain itu akan berkelana ke Ciudad, Madrid untuk mengikut program klinik asas Real Madrid.
“Program ini mendedahkan pemain berkaitan aspek teknikal dan taktikal daripada jurulatih di sana, sekali gus memperluas pengetahuan serta pengalaman mereka untuk mendapat tunjuk ajar bertaraf antarabangsa,” katanya. –UTUSAN