ALOR SETAR: Polis Kedah menerima 12 daripada 23 laporan keseluruhan berkaitan kenyataan yang dikeluarkan oleh penceramah bebas, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli semasa Program Himpunan Kedah Berselawat pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pengasas dan penasihat Madrasah Darul Sajidin (Darsa) Kuala Nerang itu juga telah dipanggil untuk diberi keterangan, semalam.
“Kita telah membuka satu siasatan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan ataupun kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Malah, siasatan telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Semasa menyampaikan Tausiah sempena Himpunan Kedah Berselawat itu, Syeikh Muhd. Zainul Asri berharap agar ‘Allah mempertahankan negeri ini (Kedah) daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah SWT dan dimenangkan agama Allah SWT’.
Terdahulu, beliau memohon maaf dan membuat penjelasan berhubung kenyataan itu yang didakwanya telah disalah tafsir kerana ucapan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
Ketika ditanya sama ada penganjur program itu akan turut dipanggil untuk membantu siasatan, Fisol berkata, perkara itu merupakan sebahagian proses yang sering dilakukan namun tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan kini berada di bawah USJT Bukit Aman.
Dalam perkembangan berkaitan, Fisol mengingatkan sekali lagi agar semua pihak tidak menyentuh isu sensitif melibatkan agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Malah, sebarang perhimpunan yang hendak diadakan sebelum pengumuman calon dibuat pada hari penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 (Akta 736). – UTUSAN