KANGAR: Sebanyak 1,075 permit menyembelih korban dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sempena musim korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Timbalan Pengarah JPV negeri, Dr. Madihah Mohd Zin berkata, sebanyak 791 Permit Sembelih Luar (PSL) dikeluarkan bagi penyembelihan lembu dan kerbau.
Katanya, 284 PSL pula dikeluarkan bagi menyembelih kambing yang dipohon untuk dilaksanakan di luar rumah penyembelihan seperti masjid, surau atau mana-mana lokasi yang menjalankan ibadah berkenaan.
“Selain itu, terdapat juga penyembelihan yang berjalan di rumah sembelih jabatan di Jejawi serta rumah sembelih swasta yang ditauliahkan. Pihak JPV Perlis turut akan melaksanakan pemantauan secara berkala kepada aktiviti penyembelihan korban yang dilaksanakan di lokasi-lokasi yang dibenarkan.
“Tujuan pemantauan berkenaan adalah sebagai langkah bagi memastikan aktiviti penyembelihan korban dijalankan dengan lebih teratur dan bersih.
“Ia bagi mengelakkan penyakit bawaan daging sembelihan korban yang boleh mengancam keselamatan makanan serta kesihatan awam selain mengambil kira kebajikan haiwan semasa ibadah korban dilaksanakan,” katanya yang mempersembahkan perkara itu kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini semalam.
Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat ke Kompleks Veterinar negeri di sini bagi menerima sembah taklimat berkaitan perkembangan pengurusan ibadah korban di Perlis sempena Zulhijjah bagi tahun 1444H kali ini.
Terdahulu, baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat menyantuni empat buah rumah asnaf termasuk seorang mangsa dalam kejadian ribut sebelum ini.
Baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sebanyak RM1,500 disampaikan Pengarahnya, Ku Chik Ku Mat Esa.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan sumbangan MAIPs bernilai RM700 setiap seorang kepada semua penerima beserta barangan keperluan harian ‘Kit MAIPs Peduli’ dan beras fidyah.-UTUSAN