YGMB sumbang wakalah zakat RM10,000 kepada pelajar asnaf Sabah

YGMB sumbang wakalah zakat RM10,000 kepada pelajar asnaf Sabah

AMINUDIN ADAM (dua kanan) menyampaikan cek wakalah zakat kepada Muarifin Sufianto Mohcoeri (dua kiri), turut hadir Wan Munadi Wan Mamat (kanan) di SMK Beaufort 3, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Prihatin dengan golongan pelajar asnaf yang berhadapan dengan kekangan kewangan untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) mengambil inisiatif menyumbang wakalah zakat kepada pelajar di negeri ini.

Wakalah zakat yang pertama seumpamanya disumbangkan oleh YGMB di Sabah itu diharap akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100 pelajar daripada golongan asnaf.

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam berkata, sumbangan wakalah zakat berjumlah RM10,000 itu diharap dapat meringankan sedikit bebanan pelajar asnaf yang berhadapan kesukaran untuk menyediakan peralatan sekolah yang lengkap.

“Sumbangan yang diberikan itu sedikit-sebanyak diharap dapat memberi keceriaan kepada anak-anak golongan asnaf yang terpaksa ke sekolah dengan peralatan sekolah yang serba kekurangan.

“Dengan adanya, sumbangan zakat yang diberikan itu setidak-tidaknya membolehkan pelajar asnaf membeli kelengkapan baharu,” katanya semasa penyampaian wakalah zakat kepada pelajar asnaf negeri Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3, hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu warga pendidik yang menjadi ahli mereka.

Tapi, pada masa sama, YGMB juga memberi sumbangan kepada golongan lain yang memerlukan terutama kepada pelajar asnaf.

Setakat ini, YGMB telah menyampaikan sumbangan wakalah zakat kepada negeri Sabah dan selepas ini di Pulau Pinang dan Johor.

Pada kali ini, sumbangan wakalah zakat diberikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk diagih-agihkan kepada pelajar yang layak menerima wakalah zakat tersebut.

Sejak ditubuhkan pada 1994, YGMB telah memberi bantuan kewangan berjumlah RM25 juta di bawah pelbagai kategori skim keahlian di seluruh negara.

Setakat ini, guru yang berdaftar di bawah YGMB adalah seramai 130,000 orang dan jumlah itu masih kecil berbanding 430,000 bilangan keseluruhan guru di negara ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muarifin Sufianto Mohcoeri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya