YGMB serah sumbangan RM25,000 ringan beban guru hidap kanser payudara - Utusan Malaysia

YGMB serah sumbangan RM25,000 ringan beban guru hidap kanser payudara

FADHLINA Sidek menyerahkan sumbangan dana Wakalaf Zakat YGMB kepada salah seorang guru pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan majlis penyerahan `mock cheque’ Program Wacana Ilmu `Apresiasi Pendidikan’ peringkat Pulau Pinang di George Town hari ini sambil diperhatikan Aminudin Adam (dua dari kiri) dan Wan Munadi Wan Mamat (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyerahkan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada seorang ahlinya di Pulau Pinang hari ini bagi meringankan beban merawat kos penyakit kanser payudara yang dihidapinya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat, jumlah itu tidak termasuk sumbangan sebanyak RM13,000 lagi yang turut diberikan kepada 10 guru dan 30 murid asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong dan SMK Bukit Jambul di sini.

Ujar beliau, sumbangan itu dibuat menerusi dana Wakalaf Zakat YGMB yang diperuntukkan khusus kepada warga pendidik dan pelajar-pelajar asnaf serta dari keluarga kurang berkemampuan.

Jelasnya, kesemua guru yang menerima sumbangan itu menghidap pelbagai jenis penyakit kritikal dan kini perlu menanggung kos rawatan hospital yang tinggi.

“Sehubungan itu, kita berharap sumbangan daripada YGMB kepada guru-guru kita di Pulau Pinang ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka khususnya dalam mendapatkan rawatan bagi penyakit kritikal yang dihidapi mereka.

“Bagi kanak-kanak asnaf dan kurang bernasib baik pula, kita berharap sumbangan ini dapat menceriakan dan membantu dari segi kos perbelanjaan persekolahan mereka sekali gus menghadirkan kegembiraan serta semangat yang tinggi untuk meneruskan sesi persekolahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, sumbangan daripada YGMB itu diserahkan kepada para penerima berkenaan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan majlis penyerahan `mock cheque’ Program Wacana Ilmu `Apresiasi Pendidikan’ peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak RM50,000 dapat disumbangkan kepada warga pendidik dan pelajar asnaf di seluruh negara menerusi peruntukan zakat Wakalaf YGMB tersebut sepanjang tahun ini.

“Sasaran kita dalam masa terdekat ini adalah untuk memberi sumbangan kepada guru-guru di Johor yang sebelum ini terkesan akibat bencana banjir besar baru-baru ini.

“Selain itu, kita juga akan menyerahkan sumbangan menerusi zakat ini kepada guru-guru di Negeri Sembilan yang turut menghidap penyakit kritikal dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya