Yang ‘hilang’ di dalam Anwar:The Untold Story - Utusan Malaysia

Yang ‘hilang’ di dalam Anwar:The Untold Story

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“WAKTU itu abang panjat pokok dekat kawasan Masjid Negara untuk ambil gambar perarakan reformasi. Situasi masa itu memang gila.” Itu adalah bayangan paling dekat saya dapat daripada seorang jurufoto akhbar tempatan menceritakan gerakan reformasi tahun 1998 di suatu petang.

Saya baru berumur lima tahun semasa tsunami reformasi itu terjadi. Tiada satu pun daftar memori tentang Anwar di tahun itu, gerakan reformasi, laungan ‘undur Mahathir’ tercatat dalam ingatan saya.

Ketika inilah saya (atau generasi saya) harus berterima kasih kepada sutradara Viva Westi bersama-sama penerbit eksekutif, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar kerana setidaknya mereka cuba merakam apa terjadi dalam era reformasi iaitu pada 1993 sehingga 1998.

Viva Westi iaitu pengarah dari Indonesia mula mengirim pesanan kepada Zunar di media sosial menyatakan hasratnya untuk menghasilkan filem tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia sebuah kerja gila kerana filem ini mungkin tidak boleh ditayangkan di Malaysia jika Anwar tidak menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu. Mahu cari pelakon sebagai Anwar dalam kalangan pelakon Malaysia pun sukarnya bukan kepalang kerana tidak ramai sanggup menyuakan tengkuk karier sendiri demi sebuah filem yang dianggap sangat politik.

Namun Farid Kamil sanggup. Begitu juga Zunar. Zunar membuka kembali segala kajian dan catatan yang pernah diselidikinya tentang Anwar dan terhasillah sebuah filem dengan tajuk Anwar:The Untold Story.

Maka, filem terbitan Bianglala Entertainment ini menjadi satu daripada sedikit filem biopik yang pernah dihasilkan di Malaysia selain Sarjan Hassan (1958), Leftenan Adnan (2000), Zaiton: Ceritaku (2012), Tanda Putera (2013) dan Lee Chong Wei-Rise of the Legend (2018).

MEMBUKA LUKA LAMA

Jika tajuknya Untold Story, sudah tentu kita akan menjangkakan pendedahan luar biasa yang hanya diketahui Anwar ketika zaman itu. Siapa yang pecah masuk rumah? Apa yang terjadi di dalam penjara hingga matanya bengkak? Apa yang dibualkannya dengan Tun Dr. Mahathir hingga dia dipecat daripada jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan?

Viva Westi melunaskan pertanyaan itu sepanjang hampir dua jam filem ini ditayangkan. Secara tidak langsung, Westi membuka kembali lembaran luka rakyat marhaen, keluarga dan Anwar sendiri yang mungkin sudah mereda (tapi tidak sembuh) biarpun setelah 25 tahun perkara itu terjadi.

Namun luka harus dibuka untuk kita benar-benar menyembuhkannya. Kita harus tahu alasan mengapa luka itu tercipta. Adakah kerana ingin melindungi kepentingan kleptokrat bangsat dan ahli-ahli korup biarpun rakyat harus hidup melarat semasa Krisis Kewangan Asia?

Anwar menjawab semua itu menerusi perbualannya dengan Dr. Mahathir dan sedang menikmati sarapan ala-ala barat di suatu pagi seperti yang terakam dalam filem ini. Kata Anwar, walaupun dialog itu hanya ringkasan daripada apa yang terjadi, namun inti perbalahan itu benar-benar berlaku.

REFORMASI BUKAN HANYA TENTANG ANWAR

Biarpun filem ini merakamkan peristiwa penting dalam landskap politik negara, namun saya merasakan filem ini belum bersedia untuk bertemu khalayak. Plot dan garapannya masih belum cukup ‘masak’.

Filem ini dimulakan terus dengan penangkapan Anwar oleh sepasukan lelaki yang dikatakan komando memecah masuk rumah Anwar. Setelah dipenjara, berlaku jungkir balik menceritakan apa yang terjadi kepada Anwar.

Namun beberapa babak khususnya act dua filem ini sangat bercempera. Terlalu banyak ingin disumbatkan dalam satu masa tapi plotnya mendatar sahaja. Sukar untuk memberi fokus apa lagi terdapat beberapa karakternya yang belum cukup kuat dibangunkan.

Saya berpendapat, alangkah bagusnya jika jalan cerita ini dikembangkan seperti apa yang terjadi kepada rakyat marhaen kerana reformasi tidak hanya berimpak kepada Anwar.

Anwar ketika dalam pidatonya pada tahun 1998 pernah berkongsi kisah seorang pemandu teksi yang datang kepadanya menceritakan dalam seminggu pemandu teksi itu akan memutar rakaman suara ceramah Anwar untuk didengari penumpang di dalam teksinya. Peristiwa itu boleh diangkat untuk menjadikan filem ini lebih berwarna.

Filem ini juga boleh mencari kembali siapakah gerangan jurufoto yang berjaya menangkap gambar momen Anwar mengangkat tangan dengan mata lebam semasa keluar dari penjara. Apa pula cerita reformasi daripada kaca mata jurufoto itu?

Bukan itu sahaja, saya merasakan produksi gagal memberikan sebuah skor muzik yang tepat dan mengena sepanjang filem ini. Muzik mempunyai sebuah magis yang boleh membuatkan penonton tenggelam, mengalirkan air mata, marah dan teringat-ingat beberapa babak walaupun selepas tayangan. Malangnya, Anwar: The Untold Story tidak memberikan kesan sebegitu.

Farid Kamil memang seorang pelakon berkebolehan. Namun malangnya, dalam beberapa babak, Farid dilihat tidak sampai membawakan aura seorang Anwar Ibrahim apatah lagi ketika babak di dalam penjara.

Namun begitu, lakonan Acha Septriasa sebagai Dr. Wan Azizah sangat menjadi walaupun Acha sangat berusaha mengemaskan sebutan bahasa Malaysianya.

Anwar: The Untold Story adalah sebuah filem biopik yang mencuba merakam perjalanan perjuangan politik Anwar. Filem ini bakal menemui penonton 18 Mei ini. Namun kalau ditanya, adakah saya ingin menonton sekali lagi filem ini di pawagam? Nampaknya tidak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya