PUTRAJAYA: Wisma Putra menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini sedang menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membawa turun jenazah peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56.
Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, Wisma Putra berkata, jenazah dijangka dibawa ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah.
Awang Askandar yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah disahkan meninggal dunia pada Jumaat lalu ketika misi menakluk puncak Everest.
“Pada masa sama, kami ingin juga mengesahkan kehilangan seorang lagi pendaki ME2023, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang sejak semalam.
“Muhammad Hawari yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan bergerak turun selepas itu, namun masih belum dapat dikesan sehingga kini,” katanya.
Wisma Putra berkata, wakil kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang sedang giat menjalankan usaha pencarian mangsa di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, sebarang perkembangan terkini misi pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pihaknya juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin. – UTUSAN