Wetland Studios Putrajaya dibuka kepada orang ramai

Wetland Studios Putrajaya dibuka kepada orang ramai

KETUA Pegawai Eksekutif KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim (dua kiri) semasa merasmikan Wetland Studios Putrajaya di Taman Wetland Putrajaya, baru-baru ini. -UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sempena cuti persekolahan yang bermula hari ini, orang ramai boleh mengunjungi taman tema, Wetland Studios Putrajaya yang merupakan sebuah  taman tema didik hibur dalaman berhawa dingin berteraskan teknologi. 

Terletak di Taman Wetland Putrajaya, iaitu wetland air tawar buatan manusia terbesar di kawasan tropika, Wetland Studios Putrajaya menawarkan tarikan dan kandungan bertemakan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar. 

Projek yang dibangunkan hasil kerjasama antara Perbadanan Putrajaya dan KRU Studios Sdn.  Bhd. juga bertujuan menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya kepada masyarakat setempat dengan keindahan flora dan faunanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim menjelaskan, taman berkonsep didik hibur tersebut akan menyajikan pelbagai jenis informasi dan pengetahuan berkenaan kehidupan bumi.

Jelasnya, pengunjung akan menempuhi satu pengalaman unik dan berbeza jika dibandingkan dengan taman-taman tema sedia ada.

“Mereka akan dibawa memasuki alam hibrid secara maya dan fizikal, tetapi pada masa sama dapat mendalami tentang sejarah bumi dan makhluk yang hidup di permukaannya.

“Terutamanya, taman tema berkonsep didik hibur ini akan memupuk kesedaran tentang peranan kepentingan air terhadap ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, burung, pokok dan bunga,” katanya semasa sesi lawatan bersama media sempena operasi hari pertama, semalam. 

Tarikan di Wetland Studios Putrajaya merangkumi aset fizikal seperti replika haiwan animatronik serta hiasan berkonsepkan alam semula jadi.

Lebih canggih, seperti mana penonton menyaksikan karya-karya milik KRU, taman tema tertutup berkenaan turut memanfaatkan kemajuan teknologi seperti hologram, realiti tambahan (AR), realiti campuran (MR) serta realiti maya (VR) dan juga kandungan digital animasi KiKaKo Kids sebagai tarikan.

Wetland Studios Putrajaya bakal dilancarkan secara rasminya bermula September depan dengan pembukaan kesemua 15 ruangan termasuk tarikan tambahan Panorama, Lakes & Rivers dan Majestic Ocean.  

Sepanjang tempoh prapelancaran ini, Wetland Studios Putrajaya menawarkan  harga istimewa kepada pengunjung dengan RM 25 bagi dewasa serta RM15 bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke atas dan warga emas.  

Wetland Studios Putrajaya  beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 7 petang, setiap hari termasuk hujung minggu  dan cuti umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya